KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Enam anggota Pasukan Khas Laut (PASKAL) ditemukan selamat selepas tersasar daripada lokasi pendaratan ketika menjalani latihan penerjunan bebas di perairan Laut China Selatan, semalam.
Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memaklumkan kesemua perwira elit itu ditemukan kapal TLDM selepas terapung di perairan berkenaan.
Menurut kenyataan TLDM, kegagalan mendarat di lokasi ditetapkan berpunca daripada faktor perubahan cuaca secara tiba-tiba sehingga menjejaskan jarak penglihatan penerjun.
“Ini membuktikan keberkesanan latihan berterusan dan realistik PASKAL dalam mempersiapkan anggota menghadapi situasi luar jangka.
"Selain kemahiran tempur, latihan intensif ini terbukti memupuk ketahanan diri yang tinggi, disiplin serta keupayaan ikhtiar hidup dalam situasi ekstrem selaras dengan slogan ‘Sentiasa yang Terbaik’,” menurut kenyataan itu.
TLDM memaklumkan pihaknya komited dalam memastikan keseimbangan antara aspek kesiapsiagaan tempur dan keselamatan anggota, demi memastikan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara.
-- BERNAMA