KUANTAN, 6 Ogos (Bernama) -- Kes vandalisme dan kecurian peralatan di lokasi infrastruktur telekomunikasi di Pahang masih tinggi dengan jumlah kerugian direkodkan lebih RM3 juta pada tahun lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan negeri Datuk Fadzli Mohamad Kamal berkata kecurian itu antara lain menyebabkan gangguan komunikasi di kawasan terlibat yang menjejaskan urusan harian pengguna.
Beliau berkata kabel, bateri, kad peralatan komunikasi, minyak diesel dan Remote Radio Unit (RRU) antara peralatan yang dicuri dari infrastruktur komunikasi.
“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sentiasa bekerjasama dengan polis untuk memastikan isu vandalisme dan kecurian ini dapat ditangani,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Pencegahan Vandalisme dan Kecurian di Lokasi Infrastruktur Telekomunikasi Peringkat Pahang di sini hari ini.
Fadzli turut mengingatkan penyedia perkhidmatan telekomunikasi supaya melaksanakan tanggungjawab memastikan pagar keselamatan di kawasan menara sentiasa berkunci dan tidak dibiarkan terbuka kerana boleh mengundang kecurian.
Beliau berkata Kerajaan Negeri Pahang menerusi pihak berkuasa tempatan telah menetapkan syarat syarikat penyedia perkhidmatan mesti menyediakan laporan bergambar keadaan infrastruktur sebelum memperbaharui lesen.
Langkah proaktif itu bertujuan memastikan setiap infrastruktur komunikasi diselenggara dengan baik dan berada dalam keadaan selamat.
Mengenai kempen itu, Fadzli berkata program tersebut melibatkan penyertaan pemimpin masyarakat yang diharapkan dapat bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi mengurangkan kegiatan vandalisme dan kecurian di infrastruktur telekomunikasi.
-- BERNAMA