MERSING, 6 Ogos (Bernama) -- Impian seorang suri rumah untuk menjana pendapatan sampingan kira-kira RM2,500 sebulan tidak kesampaian selepas tanaman yang diusahakannya dimusnahkan haiwan ternakan yang berkeliaran di sekitar Kampung Semanyir di sini.
Zaharah Zakaria, 42, yang mengusahakan tanaman seperti cili, pisang, limau kasturi dan daun pandan seluas kira-kira 0.81 hektar itu berkata beliau berasa kesal kerana isu berkenaan telah berlarutan selama lebih empat tahun.
Ibu kepada dua orang anak itu berkata hasil tanaman berkenaan sepatutnya dipasarkan ke kedai-kedai makan dan pasar berhampiran bagi meringankan beban suaminya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan.
“Kira-kira 60 ekor lembu dan kerbau yang berkeliaran telah merosakkan tanaman serta pokok hiasan saya. Malah, anak saya juga pernah terlibat dalam kemalangan kerana mengelak daripada melanggar haiwan berkenaan.
“… aduan kepada agensi berkaitan telah pun dibuat namun menemui jalan buntu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Zaharah berkata lebih memburukkan keadaan, hampir setiap hari terdapat najis haiwan ternakan itu di hadapan rumahnya yang mencetuskan bau busuk, terutama semasa musim hujan.
“Saya sampai tahap membersihkan najis lembu itu menggunakan peluntur, namun apabila terlalu kerap terjadi saya pun sudah tidak larat dan terpaksa hadap sahaja, hendak pasang pagar pula memerlukan kos yang tinggi.
“Justeru, saya berharap agar pemilik ternakan itu lebih cakna dan bertanggungjawab dalam menguruskan haiwan ternakan masing-masing demi menjaga keharmonian penduduk setempat,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau Alwiyah Talib ketika dihubungi memaklumkan isu haiwan ternakan yang berkeliaran adalah antara aduan yang sering diterima di kawasan itu.
“Saya telah beberapa kali membawa perkara ini dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada penggal lepas dan terdapat cadangan untuk semua lembu berkenaan diletakkan ‘tagging’ bagi mengenal pasti pemiliknya, namun pelaksanaannya tidak menyeluruh.
“Pada masa sama, kami juga berharap perkara ini mendapat perhatian serius pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Majlis Daerah Mersing,” katanya.
-- BERNAMA