Am 06/08/2026 08:46 PM

90 Peladang Outlet PPK Di Seluruh Negara Diperkasakan Untuk Lebih Berdaya Saing

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
90 Peladang Outlet PPK Di Seluruh Negara Diperkasakan Untuk Lebih Berdaya Saing

ARAU, 6 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 90 Peladang Outlet (PO) Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang diusahakan secara korporat di seluruh negara akan diperkasakan secara berperingkat untuk lebih berdaya saing setanding dengan industri perkhidmatan makanan dan minuman serta peruncitan terkemuka.

Pengarah Bahagian Pembangunan Ekonomi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Marlina Mohd berkata setakat ini, sebanyak 30 PO telah pun dinaik taraf dalam usaha pemerkasaan itu termasuk dari segi logo, imej, promosi dan Unit Simpanan Stok (SKU).

"Pihak kami menyasarkan 30 lagi PO dapat dibina baharu dan dinaik taraf untuk tempoh akan datang, sekali gus boleh duduk setanding dengan jenama terkemuka," katanya ketika ditemui pemberita pada program sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan (HPPN) ke-51 di pekarangan PPK Padang Siding, di sini hari ini.

Program itu dirasmikan oleh Pengerusi LPP Datuk Mahfuz Omar yang turut dihadiri Ketua Pengarah LPP Amir Matamin.

Marlina berkata PO ialah platform mengetengahkan produk peladang daripada usahawan tempatan yang berkualiti dan pihaknya merancang untuk memperluas lagi kewujudannya di seluruh negara pada masa depan bagi membolehkan pengguna mendapatkan produk secara terus dengan harga berpatutan.

Beliau berkata PO Padang Siding itu antara yang berjaya dinaik taraf dan dirasmikan Pengerusi LPP hari ini.

Sementara itu, LPP dalam kenyataan bersempena dengan program itu memaklumkan PO PPK Padang Siding menerima lebih 20,000 pengunjung sejak mula beroperasi pada April lepas, sekali gus membuktikan penerimaan positif masyarakat terhadap konsep pusat sehenti yang menghimpunkan produk pertanian tempatan berkualiti pada harga kompetitif.

-- BERNAMA