Am 06/08/2026 09:11 PM

HIK@M2026 Perluas Penyertaan, Beri Ruang Kepada Murid PPKI Tonjol Kreativiti

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
HIK@M2026 Perluas Penyertaan, Beri Ruang Kepada Murid PPKI Tonjol Kreativiti

MELAKA, 6 Ogos (Bernama) -- Hari Inovasi Kebangsaan @ Melaka 2026 (HIK@M2026) memperluas ruang penyertaan kepada murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) buat kali pertama, sekali gus membuka pentas lebih inklusif untuk mengetengahkan bakat dan kreativiti golongan berkenaan.

Guru PPKI Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Rumput E. Komathi berkata peluang itu membolehkan beliau bersama-sama muridnya, Muhammad Ammar Mohd Firdaus, 12, mengetengahkan inovasi aplikasi bina ayat bahasa Inggeris yang dibangunkan berdasarkan keperluan pembelajaran murid berkeperluan khas.

Beliau berkata aplikasi berkenaan pada asalnya merupakan prototaip pembelajaran menggunakan kad bergambar dan permainan susun ayat di dalam kelas sebelum ditambah baik kepada aplikasi digital yang lebih interaktif.

“Antara kesukaran murid ialah mengingati kata nama dan kata kerja serta membina ayat, jadi kami gunakan gambar untuk membantu mereka mengenal pasti perkataan sebelum menyusunnya menjadi ayat.

“Daripada aktiviti itu, kami fikir kaedah untuk menjadikan pembelajaran lebih interaktif dan akhirnya menghasilkan aplikasi ini,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, Komathi bersama dengan Muhammad Ammar mendapat tempat pertama bagi kategori PPKI dan hadiah kemenangan disampaikan oleh Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan.

Komathi berkata aplikasi berkenaan turut menyediakan tiga tahap pembelajaran, iaitu lemah, sederhana dan lanjutan, selain menggabungkan elemen audio visual bagi memudahkan proses pembelajaran bahasa Inggeris.

Beliau berkata penyertaan itu memberikan pendedahan bermakna kepada murid PPKI, malah kejayaan meraih Johan kategori Prasekolah PPKI membuktikan bahawa murid berkeperluan khas juga mampu menghasilkan inovasi apabila diberi ruang dan bimbingan.

Sementara itu, guru Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) serta Pendidikan Vokasional Menengah Atas (PVMA) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rahmat, Nurul Shahzwani Saliman berkata aplikasi Rempah AI Learner yang memenangi tempat pertama bagi kategori sekolah menengah tercetus daripada masalah pelajarnya yang sukar mengenal pasti jenis rempah.

Beliau berkata inovasi yang dibangunkan berdasarkan idea pelajar itu melalui tiga fasa penambahbaikan, daripada versi pertama menggunakan PictoBlox kepada versi terkini yang dapat memberikan maklumat khusus tentang rempah yang diimbas.

“Apabila rempah diimbas, aplikasi ini terus memberikan maklumat seperti nama, sejarah dan kegunaannya dalam masakan. 

"Setakat ini, kira-kira 10 jenis rempah dimasukkan termasuk buah keras, jintan manis, jintan putih, kayu manis, rosemary, daun bay, cengkih dan bunga lawang,” katanya.

Nurul Shahzwani berkata proses pembangunan aplikasi turut melibatkan pengumpulan data dari pelbagai sudut dan keadaan pencahayaan bagi meningkatkan ketepatan pengecaman, sekali gus menjadikannya berpotensi dimanfaatkan pelajar, guru dan masyarakat.

Pelajar SMK Rahmat, Nur Shifa Damia Mohd Najib, 15, berkata aplikasi itu turut menyediakan maklumat sejarah rempah serta cadangan resipi, membantu pengguna mengetahui kegunaan rempah yang dimiliki dan seterusnya mengurangkan pembaziran makanan.

Katanya, aplikasi yang dibangunkan dalam bentuk laman sesawang dan boleh dipasang sebagai aplikasi itu belum diterbitkan di Google Play Store kerana pihaknya masih memerlukan sokongan, maklum balas dan kerjasama universiti untuk penambahbaikan.

Sebanyak 370 penyertaan dari seluruh negara diterima bersempena dengan HIK@M2026 yang berlangsung di Universiti Multimedia (MMU) pada tahun ini.

-- BERNAMA