Dunia 06/08/2026 10:00 PM

Lapan Negara Kecam Serangan Israel Terhadap Kemudahan Kesihatan, Infrastruktur Awam Di Gaza

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Lapan Negara Kecam Serangan Israel Terhadap Kemudahan Kesihatan, Infrastruktur Awam Di Gaza
Rakyat Palestin berjalan di tengah-tengah runtuhan bangunan kediaman yang musnah semasa perang, di kem pelarian Jabalia, utara Semenanjung Gaza. 5 Ogos, 2026. REUTERS/Mahmoud Issa

ISTANBUL, 6 Ogos (Bernama-Anadolu) -- Turkiye dan tujuh negara lain pada Khamis mengecam sekeras-kerasnya serangan Israel terhadap kemudahan kesihatan, infrastruktur perubatan dan lokasi awam di Semenanjung Gaza, sambil menyifatkan serangan itu melanggar undang-undang antarabangsa dan menjejaskan usaha memajukan pelan damai Gaza, lapor Anadolu Ajansi.

Dalam kenyataan bersama, menteri luar Turkiye, Mesir, Indonesia, Jordan, Pakistan, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu mengutuk pelanggaran berterusan Israel di Gaza, termasuk serangan yang mengorbankan orang awam, khususnya wanita dan kanak-kanak.

Menteri-menteri berkenaan menyatakan bahawa serangan berkenaan merupakan "pelanggaran jelas" terhadap undang-undang antarabangsa dan Pelan Komprehensif bagi Menamatkan Konflik Gaza, sambil memberi amaran bahawa tindakan itu menjejaskan usaha melaksanakan fasa kedua pelan berkenaan selepas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengumumkan bahawa puak-puak Palestin menerima pelan hala tujunya.

Mereka menegaskan bahawa melindungi orang awam dan kemudahan perubatan serta memastikan penghantaran bantuan kemanusiaan yang selamat dan tanpa halangan ke seluruh Gaza merupakan kewajipan undang-undang di bawah undang-undang antarabangsa.

Kenyataan itu turut mengaitkan situasi di Gaza dengan serangan peneroka haram Israel di Tebing Barat yang diduduki, peluasan penempatan haram Israel dan langkah unilateral yang bertujuan mengubah status quo di Baitulmuqaddis Timur yang diduduki.

"Secara keseluruhannya, amalan ini membentuk dasar sistematik yang bertujuan mewujudkan fait accompli melalui kekerasan, menjejaskan asas penyelesaian dua negara dan meminggirkan hak sah rakyat Palestin, sekali gus melanggar undang-undang antarabangsa dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berkaitan secara terang-terangan," menurut kenyataan itu.

Mereka menyeru masyarakat antarabangsa, terutamanya Majlis Keselamatan PBB, supaya memikul tanggungjawab undang-undang dan moral dengan mengambil langkah berkesan bagi memastikan Israel mematuhi kewajipannya di bawah undang-undang antarabangsa, termasuk undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan Resolusi 2803 Majlis Keselamatan PBB, serta memastikan pihak yang bertanggungjawab terhadap pelanggaran serius dipertanggungjawabkan.

Menurut mereka, langkah sedemikian akan membantu melindungi orang awam dan mencapai gencatan senjata berkekalan.

Para menteri itu turut menolak sebarang cubaan untuk mengilhakkan wilayah Palestin yang diduduki atau memindahkan rakyat Palestin secara paksa, sambil menegaskan semula bahawa keamanan berkekalan memerlukan penyelesaian dua negara berdasarkan sempadan 1967 dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara bagi negara Palestin pada masa depan.

-- BERNAMA-ANADOLU