Am 07/08/2026 12:08 AM

Malaysia-Hungary Perkukuh Kerjasama Pertanian, Keterjaminan Makanan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Malaysia-Hungary Perkukuh Kerjasama Pertanian, Keterjaminan Makanan
Kredit: FB Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Malaysia dan Hungary memperkukuh kerjasama dalam sektor pertanian serta keterjaminan makanan menerusi pelbagai inisiatif, termasuk penyertaan Hungary dalam Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata perkara itu, dibincangkan dalam pertemuan beliau bersama dengan Duta Hungary ke Malaysia Dr Sándor Sipos yang mengadakan kunjungan hormat hari ini.

Beliau berkata perbincangan turut meliputi pelaksanaan Mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama (JWG) Malaysia-Hungary yang pertama, kerjasama penyelidikan antara Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Hungarian University of Agriculture and Life Sciences (MATE), selain usaha memperluas perdagangan serta pelaburan sektor agromakanan antara kedua-dua negara.

“Kerjasama teknikal antara MARDI dan MATE terus menunjukkan perkembangan positif, antaranya menerusi program pertukaran penyelidik Erasmus+, penyelidikan dalam bidang genetik, teknologi pembiakan dan pembangunan produk ternakan berkualiti tinggi,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Mohamad berkata kerjasama berkenaan dijangka membuka lebih banyak peluang kepada petani, penternak, penyelidik dan usahawan agromakanan di kedua-dua negara menerusi perkongsian kepakaran, teknologi serta pengalaman.

Beliau berkata hubungan baik Malaysia dan Hungary dalam bidang pertanian akan terus diperkukuh bagi menyokong pembangunan sektor agromakanan negara serta memperkasakan keterjaminan makanan.

-- BERNAMA