COLOGNE, 6 Ogos (Bernama-dpa) -- Pakar bahan letupan Jerman pada Khamis sedang bersiap sedia untuk menyahaktifkan sebutir bom dipercayai peninggalan Perang Dunia Kedua yang ditemukan berhampiran Cologne selepas paras air Sungai Rhine yang menyusut ke tahap luar biasa mendedahkan kewujudan bahan letupan itu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Menurut pihak berkuasa tempatan, kira-kira 360 penduduk dan pekerja dalam lingkungan radius 400 meter dari lokasi penemuan itu akan dipindahkan. Mereka yang terjejas termasuk penghuni sebuah rumah penjagaan warga emas dan kakitangan studio televisyen RTL yang terletak berhampiran.
Bom tidak meletup seberat 500 kilogram buatan Amerika Syarikat (AS) itu ditemukan pada Rabu malam berhampiran Rheinpark di Cologne. Waktu tepat operasi menyahaktifkan bom berkenaan masih belum diumumkan.
Penemuan itu berlaku ketika Sungai Rhine sekali lagi mencatatkan paras air terendah di Cologne susulan cuaca panas dan kemarau yang berpanjangan. Paras air sungai itu menurun kepada 67 sentimeter pada Khamis, menyamai rekod terendah yang dicatatkan beberapa hari lalu, manakala penurunan lanjut kepada 66 sentimeter diramalkan berlaku lewat hari berkenaan.
-- BERNAMA-dpa