ABUJA, 6 Ogos (Bernama-Xinhua) -- Presiden Nigeria Bola Tinubu mengesahkan bahawa sekurang-kurangnya 308 individu yang ditawan selama beberapa bulan oleh kumpulan yang disyaki pengganas di wilayah tengah negara itu berjaya diselamatkan menerusi operasi tentera berasaskan risikan, lapor Xinhua.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu malam, Tinubu memuji operasi itu sebagai "berjaya". Mangsa terbabit merupakan sebahagian daripada ratusan individu yang diculik dalam serangan berasingan di negeri Kwara dan Niger di utara-tengah Nigeria antara 3 dan 4 Februari.
Menurut kenyataan itu, kira-kira 163 mangsa yang diselamatkan diculik dari Komuniti Woro di Kawasan Kerajaan Tempatan Kaiama, negeri Kwara, manakala baki 145 mangsa diculik di negeri jiran, Niger. Mereka diselamatkan dari Hutan Taman Negara Tasik Kainji di Kawasan Kerajaan Tempatan New Bussa, negeri Niger, menerusi operasi bersepadu berasaskan risikan.
Kerajaan Nigeria memaklumkan bahawa misi itu merupakan "operasi menyelamat terbesar dalam sehari yang pernah dijalankan oleh pasukan keselamatan gabungan", sekali gus membuktikan keberkesanan dan penyelarasan yang semakin kukuh antara agensi keselamatan negara itu.
-- BERNAMA-XINHUA