Politik 06/08/2026 11:30 PM

Nurul Izzah Tumpu Pengajian, Yakin Saifuddin Mampu Galas Tugas

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Nurul Izzah Tumpu Pengajian, Yakin Saifuddin Mampu Galas Tugas
Nurul Izzah Anwar --fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Nurul Izzah Anwar berkata keputusan untuk melepaskan jawatan Timbalan Presiden PKR dibuat selepas pertimbangan panjang bagi memberikan tumpuan kepada pengajian lanjutan dan meneruskan khidmat kepada masyarakat yang tidak semestinya terikat dengan dunia politik.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Nurul Izzah berkata beliau akan terus kekal sebagai anggota PKR dan memberikan dukungan kepada perjuangan parti ke arah Malaysia yang lebih baik.

“Saya akan terus kekal sebagai anggota KEADILAN, memberikan dukungan kepada perjuangan ke arah Malaysia yang lebih baik yang dirangkul saf kepimpinan parti di bawah pimpinan (Presiden PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim berserta akar umbinya,” katanya.

Nurul Izzah turut menzahirkan penghargaan kepada Anwar serta kepimpinan parti kerana mengambil maklum akan keputusannya untuk melepaskan jawatan Timbalan Presiden.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh anggota PKR, pimpinan pada setiap peringkat dan rakan seperjuangan atas kepercayaan, teguran, doa serta pengorbanan yang diberi sepanjang perjuangannya.

Dalam hantaran sama, Nurul Izzah berkata beliau yakin Naib Presiden PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang akan menjalankan tugas Timbalan Presiden secara sementara, serta Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Pengarah Pilihan Raya PKR, mampu melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan dengan penuh kebijaksanaan, hikmah dan ketekunan.

"Saya mendoakan agar setiap urusan mereka dipermudah dalam memikul tanggungjawab ini," katanya.

Beliau turut menyatakan hasrat untuk bertemu dengan anggota parti pada Kongres Nasional PKR yang akan berlangsung di Melaka pada 15 dan 16 Ogos ini.

Ketua Penerangan PKR Datuk Seri Fahmi Fadzil dalam kenyataan hari ini memaklumkan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu bersetuju memberikan cuti sementara kepada Nurul Izzah daripada menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden parti, bermula selepas Kongres Nasional PKR sehingga satu tarikh yang akan diumumkan kemudian.

Fahmi dalam kenyataan itu berkata Saifuddin Nasution akan menjalankan tugas Timbalan Presiden secara sementara, sambil memaklumkan keputusan itu diambil selepas mesyuarat membincangkan permohonan Nurul Izzah untuk mengundurkan diri daripada jawatan berkenaan.

BERNAMA