Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani
KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives terus mencatatkan peningkatan hari ini, berdasarkan kenaikan mendadak pada sesi sebelumnya, apabila dolar Amerika Syarikat (AS) yang lebih lemah menyokong permintaan bagi logam berharga itu.
Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata peningkatan momentum bagi bulion dijangka kekal terhad menjelang laporan gaji bukan ladang (NFP) AS pada Jumaat.
Beliau berkata harga emas meningkat kira-kira 0.5 peratus hari ini selepas ia melonjak sebanyak empat peratus semalam, didorong oleh peningkatan kebimbangan terhadap tahap hutang global dan kegelisahan mengenai rangka kerja dasar baharu Rizab Persekutuan (Fed) AS.
“Pada dasarnya, pasaran emas sedang berhubung semula dengan dolar AS yang lebih lemah, walaupun pedagang mungkin enggan bergerak terlalu agresif sebelum menerima isyarat pasaran buruh utama AS yang seterusnya,” kata Innes kepada Bernama.
Beliau berkata walaupun momentum kekal positif, pelabur berkemungkinan akan terus berwaspada menjelang data pekerjaan AS, yang boleh memberikan penunjuk baharu mengenai prospek kadar faedah Fed dan mempengaruhi hala tuju dolar AS serta harga bulion.
Pada penutup, kontrak semerta bulan Ogos 2026 meningkat kepada US$4,298.90 setiap auns troy daripada US$4,174.20 pada Rabu, manakala nota September 2026 mengukuh kepada US$4,312.80 daripada US$4,186.40 sebelumnya.
Kontrak Oktober 2026, November 2026 dan Disember 2026 semuanya meningkat kepada US$4,326.20 setiap auns troy berbanding US$4,200.00 semalam.
Jumlah dagangan lebih rendah pada 286 lot, iaitu susut daripada 312 pada Rabu, manakala kepentingan terbuka berkurang kepada 366 kontrak, berbanding 381 sebelumnya.
Harga emas fizikal berada pada US$4,206.60 setiap auns troy pada penetapan London Bullion Market Association pada 5 Ogos 2026.
-- BERNAMA