KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Bekas Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) Tan Sri Darshan Singh Gill hari ini menerima anugerah darjah kebesaran diraja Thailand "The Most Admirable Order of the Direkgunabhorn (Fifth Class-Benjama Direkgunabhorn)”.
Darjah kebesaran diraja itu, yang dianugerahkan oleh mendiang Raja Bhumibol Adulyadej The Great, Rama IX, disampaikan oleh Naib Presiden Kanan ACC Jeneral Decha Hemkasri sebagai penghargaan terhadap sumbangan cemerlang serta khidmat Darshan dalam pembangunan sukan berbasikal di Malaysia, Asia dan peringkat antarabangsa.
Darshan, yang juga bekas Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF) berkata pengiktirafan itu bukan sahaja satu pencapaian peribadi, malah detik membanggakan buat Malaysia dan komuniti sukan berbasikal.
Beliau berkhidmat sebagai Presiden MNCF dari 1988 hingga 1990 dan Presiden ACC dari 1996 hingga 2005.
“Pengiktirafan itu turut mencerminkan kemajuan arena berbasikal negara yang mengetengahkan pencapaian atlet serta pentadbir yang telah membawa nama Malaysia ke peringkat dunia.
"Dulu kita ada M. Kumaresan dan Rosman Alwi. Kini, kita mempunyai legenda Datuk Mohd Azizulhasni Awang yang telah mencapai tahap tertinggi di dunia, dan baru seminggu lepas memenangi pingat emas pada Sukan Komanwel (Glasgow),” katanya kepada pemberita selepas majlis berkenaan.
Beliau berkata pada peringkat pentadbiran pula, Malaysia telah mempamerkan prestasi sangat baik.
“Ia satu pengiktirafan apabila Datuk Amarjit Singh Gill (Presiden MNCF ketika ini) dipilih sebagai Naib Presiden UCI (Kesatuan Berbasikal Antarabangsa), sekali gus menjadi rakyat Malaysia pertama yang menganggotai badan dunia itu.
“Satu pengiktirafan yang membuktikan Malaysia mempunyai keupayaan untuk mentadbir sehingga peringkat dunia," katanya.
Baru-baru ini, Mohd Azizulhasni menamatkan penantian selama 16 tahun untuk muncul juara Sukan Komanwel selepas merangkul pingat emas acara keirin lelaki di Velodrom Sir Chris Hoy di Glasgow.
Tahun lepas, Amarjit menjadi rakyat Malaysia pertama dipilih sebagai Naib Presiden UCI bagi penggal 2025-2029 pada Kongres UCI ke-194 di Kigali, Rwanda.
-- BERNAMA