Dunia 06/08/2026 06:06 PM

Itali Keluarkan Amaran Merah Gelombang Haba Bagi Semua 27 Bandar Utama

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Itali Keluarkan Amaran Merah Gelombang Haba Bagi Semua 27 Bandar Utama
--REUTERS

ROM, 6 Ogos (Bernama-dpa) -- Kerajaan Itali pada Khamis mengeluarkan amaran haba pada tahap tertinggi -- amaran merah -- bagi semua 27 bandar utama negara itu yang dipantau oleh Jabatan Kesihatan Itali susulan suhu melebihi 35 darjah Celsius yang berterusan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Amaran merah dikeluarkan oleh kerajaan di Rom apabila cuaca panas ekstrem berlaku bersama kelembapan yang tinggi. Keadaan itu membawa risiko kesihatan akut bukan sahaja kepada warga emas dan kumpulan berisiko lain, malah kepada individu sihat serta mereka yang aktif secara fizikal.

Amaran itu kini meliputi seluruh negara, dari Bolzano di wilayah Tyrol Selatan hingga ke Palermo di Pulau Sicily di Mediterranean.

Di kebanyakan tempat, suhu melebihi 35 darjah Celsius dijangka dicatatkan pada Khamis. Bagi bandar seperti Florence di wilayah Tuscany dan ibu negara Rom, ahli meteorologi meramalkan suhu tertinggi melebihi 40 darjah Celsius.

Gelombang haba dan kemarau yang berterusan turut menjejaskan sungai dan tasik di Itali. Di Sungai Po, sungai terpanjang negara itu, pihak berkuasa merekodkan paras air yang jauh lebih rendah daripada kebiasaan bagi tempoh yang sama setiap tahun di semua stesen pemantauan.

Menurut laporan media, Tasik Maggiore di utara Itali, tasik kedua terbesar di negara itu selepas Tasik Garda, menghampiri paras terendah dalam sejarah. Sementara itu, suhu melebihi 30 darjah Celsius direkodkan di bahagian utara Laut Adriatik.

Ramalan cuaca menunjukkan gelombang haba itu akan berterusan hingga pertengahan Ogos. Bagaimanapun, suhu dijangka menurun sedikit di utara Itali pada Jumaat.

-- BERNAMA-dpa