KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Kanada sedang meninjau untuk memperkukuh lagi kerjasama pertahanannya dengan Malaysia, menerusi peluasan latihan ketenteraan dan kerjasama industri pertahanan yang lebih erat, kata Wakil Kanan Tentera Kanada ke Indo-Pasifik (SMR-IP) Leftenan Jeneral Derek Macaulay.
Beliau berkata cadangan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Pertahanan mengenai perkara itu, yang telah dirundingkan sejak 2024, berjalan lancar dan dijangka ditandatangani pada tahun hadapan, sekali gus membuka jalan kepada kerjasama yang lebih meluas antara kedua-dua negara.
“Saya berpendapat ia telah berjaya dan terdapat jangkaan yang tinggi bahawa perjanjian kerjasama pertahanan atau Memorandum Persefahaman (MoU) tersebut akan ditandatangani pada tahun depan. Ia akan menyediakan asas yang kukuh untuk kita meneroka lebih banyak peluang untuk bekerjasama, serta berkongsi dan belajar daripada satu sama lain,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu temu bual bersama dengan media Malaysia di luar acara Persidangan Undang-Undang dan Operasi Ketenteraan Antarabangsa Tahunan (MILOPS) ke-37 2026, hari ini.
Macaulay berkata MoU atau perjanjian itu akan melengkapkan hampir tujuh dekad hubungan dua hala, sambil menegaskan bahawa pertahanan telah menjadi asas kepada hubungan Malaysia-Kanada sejak hubungan diplomatik diwujudkan pada 1957, dengan kedua-dua negara bakal menyambut ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik pada tahun hadapan.
Beliau berkata pendidikan ketenteraan kekal sebagai tonggak utama kerjasama dua hala, dengan Program Latihan dan Kerjasama Ketenteraan yang ditubuhkan pada tahun 1966, telah melatih lebih 750 pegawai Malaysia dalam pelbagai bidang termasuk latihan bahasa, pendidikan ketenteraan profesional, serta Wanita, Keamanan dan Keselamatan (WPS).
Selain pendidikan, Macaulay berkata Exercise Mantis yang telah lama dijalankan mengenai ancaman kimia, biologi, radiologi dan nuklear (CBRN), telah menjadi satu platform penting bagi kedua-dua negara untuk berlatih dan belajar antara satu sama lain sejak tahun 2014.
Mengenai kerjasama industri pertahanan, Macaulay berkata Strategi Pertahanan Perindustrian Kanada yang dilancarkan pada Februari tahun ini dan Dasar Industri Pertahanan Malaysia (MDIP) yang diperkenalkan pada Januari, menyediakan peluang kepada kedua-dua negara untuk memperkukuh kolaborasi dalam sektor berkenaan.
Beliau berkata Kanada berminat untuk bekerjasama dengan rakan kongsi yang dipercayai seperti Malaysia, bagi memperkukuh industri pertahanan kedua-dua negara dan syarikat-syarikat Kanada juga telah menunjukkan minat yang semakin meningkat untuk menyertai pameran pertahanan di Malaysia, termasuk Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA).
Macaulay berkata syarikat Kanada telah pun beroperasi di Malaysia dan beliau melahirkan keyakinan bahawa usaha sama yang berjaya akan menggalakkan lebih banyak firma Kanada untuk meneroka peluang di negara ini.
Beliau juga mengulangi komitmen Kanada terhadap Indo-Pasifik yang bebas, terbuka dan inklusif dengan menekankan rasa hormat terhadap undang-undang antarabangsa, Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS), kepusatan ASEAN serta dialog dalam menyelesaikan pertikaian.
Sementara itu, Macaulay berkata jawatan SMR-IP yang baharu diwujudkan itu, bertujuan untuk membina perkongsian yang boleh dipercayai dan diyakini dengan negara-negara di Indo-Pasifik.
“Penubuhan jawatan SMR-IP mencerminkan komitmen Kanada untuk memiliki seorang pegawai tentera bertaraf tiga bintang, yang berdedikasi dan memberi tumpuan kepada libat urus strategik dengan rakan-rakan kongsi Indo-Pasifik.
“Pewujudan jawatan ini menghantar satu isyarat kekuatan serta hakikat, bahawa kami mahu memperkukuh perkongsian kami,” katanya.
Macaulay, yang telah berkhidmat dalam Angkatan Tentera Kanada selama lebih 35 tahun, berkata hubungan peribadinya dengan Malaysia bermula sejak tahun 1994, apabila beliau sebagai seorang kapten muda pada ketika itu pernah berkhidmat bersama-sama tentera Malaysia di bawah batalion Kanada, semasa satu misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
-- BERNAMA