KEPALA BATAS, 6 Ogos (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) berharap kerajaan mengekalkan beberapa inisiatif utama untuk nelayan dalam Belanjawan 2027, termasuk peruntukan RM3 juta bagi penyediaan peralatan menangkap ikan, selain meneruskan elaun sara hidup, subsidi diesel dan bantuan baik pulih perumahan.
Pengerusi LKIM Muhammad Faiz Fadzil berkata agensi itu turut memohon kerajaan menyediakan peruntukan tambahan bagi menaik taraf prasarana perikanan yang uzur termasuk jeti pendaratan ikan, khususnya bagi nelayan pesisir pantai Zon A dan kemudahan lain untuk nelayan.
"Selain mengekalkan bantuan sedia ada, kita juga memohon peruntukan tambahan untuk membaik pulih atau menaik taraf prasarana nelayan yang telah usang serta membina kemudahan baharu yang diperlukan, kami telah kenal pasti jeti-jeti yang uzur itu.
"Kita juga berharap kerajaan dapat memberikan tumpuan kepada pembangunan akuakultur kerana sumber perikanan di laut semakin berkurangan dan peruntukan diperlukan bagi membaik pulih kolam-kolam akuakultur lama yang telah rosak dan uzur," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Rahmah Mesra MADANI Pengerusi LKIM bersama-sama nelayan Pulau Pinang di Dewan Datuk Haji Ismail Che Chik, di Bakau Tua, Penaga, di sini yang menyaksikan sebanyak 103 nelayan menerima manfaat menerusi beberapa inisiatif utama LKIM melibatkan kos keseluruhan RM615,900.
Muhammad Faiz berkata ketika ini, terdapat kira-kira 42,000 hingga 43,000 nelayan Zon A di seluruh negara yang bergantung pada kemudahan pendaratan ikan yang lebih baik bagi menyokong aktiviti harian mereka.
Beliau berkata pada tahun lepas, LKIM menerima hampir RM2 juta bagi kerja-kerja pembinaan dan naik taraf jeti, namun jumlah itu masih belum mencukupi berikutan banyak permohonan diterima di seluruh negara.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan melalui Belanjawan 2026 telah memperuntukkan RM3 juta bagi penyediaan peralatan menangkap ikan kepada nelayan di seluruh negara dengan Pulau Pinang menerima peruntukan RM180,000.
Bantuan itu, katanya, disasarkan kepada nelayan aktif daripada golongan B40 bagi membantu meningkatkan produktiviti dan hasil tangkapan ikan, sekali gus menambah pendapatan kerana mereka bergantung pada hasil di laut yang tidak menentu.
"Kita juga membuat pemantauan terhadap penggunaan bantuan ini dan setakat ini, tiada kes penyalahgunaan direkodkan," katanya.
-- BERNAMA