KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) menggunakan pendekatan berbeza dalam menambah baik fasiliti kesihatan di pedalaman Sabah dan Sarawak dengan mengambil kira cabaran geografi serta keperluan setiap kawasan, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Hanifah Hajar Taib.
Beliau berkata langkah itu penting memandangkan setiap klinik kesihatan di kawasan luar bandar berdepan kekangan berbeza, termasuk aspek akses logistik, peningkatan jumlah pesakit serta kesiapsiagaan menghadapi bencana banjir.
Menerusi Jelajah Kesihatan Borneo, beliau berkata pihaknya mendapati setiap klinik yang dilawati mempunyai keperluan tersendiri, sama ada dari segi peralatan tambahan, pertambahan kakitangan, peluasan ruang atau perpindahan kerana lokasi yang kurang sesuai.
"Setiap klinik yang saya lawati mempunyai pelbagai jenis kekangan. Ada yang mempunyai keperluan dari segi peralatan dan kakitangan tambahan, ruang diperbesar serta perpindahan kerana lokasi terkini kurang sesuai," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam temu bual eksklusif Bernama Radio bagi mengupas isu "Jelajah Kesihatan Borneo dan Masa Depan Kesihatan Negara" hari ini.
Hanifah berkata faktor perubahan iklim yang menyebabkan banjir luar jangka turut menuntut beberapa klinik kesihatan menaik taraf fasiliti, termasuk meninggikan kedudukan peralatan perubatan dan perabot bagi mengelakkan kerosakan.
Selain penambahbaikan fizikal, beliau memberikan jaminan bahawa KKM sentiasa memastikan setiap klinik dan hospital di pedalaman mempunyai stok bekalan ubat mencukupi untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga bulan sebagai langkah kesiapsiagaan.
Pada masa sama, KKM turut memberikan tumpuan kepada penyediaan rawatan serta pemantauan penyakit endemik dan berjangkit yang berisiko tinggi di wilayah berkenaan seperti rabies dan denggi.
"Di Semenanjung tidak ada masalah rabies. Jadi, kita nak memastikan perubatan dan kefahaman doktor itu ada, serta bagaimana kita berhubung rapat dengan agensi dan kerajaan tempatan untuk melaksanakan perkhidmatan berkaitan masalah rabies," katanya.
Sehubungan dengan itu, Hanifah berkata Jelajah Kesihatan Borneo yang memasuki siri kedua pelaksanaannya membolehkan KKM menilai realiti sebenar di lapangan bagi memastikan perkhidmatan perubatan serta pengurusan penyakit dapat disalurkan secara saksama kepada penduduk di Sabah dan Sarawak.
-- BERNAMA