HOUSTON (Amerika Syarikat), 5 Ogos (Bernama-Anadolu) -- Abdul El-Sayed mendahului secara tipis dalam pemilihan awal Senat Parti Demokrat di Michigan pada awal Rabu, ketika pengundi di Kansas, Michigan, Missouri, Virginia dan Washington memilih calon bagi persaingan penting dalam pilihan raya pertengahan penggal November ini, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Dengan 91 peratus undi telah dikira, El-Sayed mendahului Ahli Kongres AS Haley Stevens, walaupun The Associated Press belum mengumumkan pemenang rasmi persaingan itu.
Pemenang akan menentang calon Parti Republikan Mike Rogers dalam persaingan bagi menggantikan Senator Demokrat Gary Peters yang bersara. Rogers bertanding tanpa tentangan dalam pemilihan awal Republikan.
Stevens mendapat sokongan tokoh-tokoh terkemuka kem pimpinan utama Demokrat, termasuk Peters, manakala El-Sayed menerima sokongan daripada tokoh progresif termasuk Senator Bernie Sanders serta Ahli Kongres Alexandria Ocasio-Cortez dan Rashida Tlaib.
Sokongan AS terhadap Israel dan kempen genosidnya terhadap rakyat Palestin di Gaza merupakan isu utama dalam pemilihan awal berkenaan.
Di Daerah Kongres Pertama Michigan, Ahli Kongres Republikan Jack Bergman memenangi pencalonan partinya dengan 74.3 peratus undi menewaskan dua pencabar, selepas 94 peratus undi dikira.
Ahli Kongres Republikan Bill Huizenga turut memenangi semula pencalonan di Daerah Keempat Michigan, menewaskan Philip Tanis dengan 85 peratus berbanding 15 peratus selepas 83 peratus kertas undi dikira.
Huizenga akan berdepan Senator negeri Sean McCann, yang menewaskan Diop Harris II 67.2 peratus berbanding 32.8 peratus untuk meraih pencalonan Demokrat.
Di Kansas, Senator Republikan Roger Marshall menewaskan pencabar Pond Naramore dengan 79.9 peratus undi dengan 99 peratus pusat pengundian selesai melaporkan keputusan.
Marshall akan menentang Adam Hamilton, yang memenangi pencalonan Demokrat dalam persaingan sengit berbilang calon.
Bagi persaingan jawatan Gabenor Kansas, calon Demokrat Cindy Holscher menewaskan dua pencabarnya untuk meraih pencalonan parti itu. Beliau bakal berdepan calon Republikan Ty Masterson, yang memenangi pemilihan awal berbilang calon dengan sokongan Presiden Donald Trump.
Pemenang akan menggantikan Gabenor Demokrat Laura Kelly, yang tidak dibenarkan bertanding semula berikutan had tempoh perkhidmatan.
Missouri mengadakan pemilihan awal kongres pertamanya sejak penggubal undang-undang negeri daripada Republikan meluluskan peta kawasan pilihan raya yang disokong Trump untuk meningkatkan peluang parti itu mengekalkan kawalan ke atas Dewan Perwakilan.
Di Daerah Kongres Pertama Missouri, Ahli Kongres Demokrat Wesley Bell menewaskan empat pencabar, termasuk bekas Ahli Kongres Cori Bush, untuk memenangi semula pencalonan.
Bell akan berdepan calon Republikan Paul Berry III, yang menewaskan Andrew Jones.
Bagi persaingan Senat di Virginia, calon Republikan Bert Mizusawa memenangi pencalonan partinya untuk mencabar Senator Demokrat Mark Warner, yang bertanding tanpa tentangan.
Shannon Taylor memenangi pencalonan Demokrat di Daerah Kongres Pertama Virginia dengan 53.1 peratus undi dengan 99 peratus pusat pengundian selesai melaporkan keputusan.
Beliau akan menentang Ahli Kongres Republikan Rob Wittman, yang bertanding tanpa tentangan dan bertanding untuk penggal penuh ke-10.
Di Daerah Ke-2 Virginia, bekas Ahli Kongres Demokrat Elaine Luria memenangi pencalonan partinya dengan 80.4 peratus undi. Beliau akan mencabar Ahli Kongres Republikan Jen Kiggans, yang bertanding tanpa tentangan.
Calon Republikan Doug Ollivant memenangi pencalonan partinya di Daerah Ketujuh Virginia dengan 56.6 peratus undi dan akan berdepan Ahli Kongres Demokrat penggal pertama Eugene Vindman, yang bertanding tanpa tentangan.
Dalam pemilihan awal semua parti di Washington, Ahli Kongres Demokrat Suzan DelBene dan calon Republikan Mary Silva mara ke pilihan raya November di Daerah Kongres Pertama.
Ahli Kongres Demokrat Marie Gluesenkamp Perez akan menentang calon Republikan John Braun, yang mendapat sokongan Trump.
Di Daerah Keenam Washington, Ahli Kongres Demokrat Emily Randall mara untuk menentang calon Republikan Teresa Fox pada November.
-- BERNAMA-ANADOLU