Dunia 05/08/2026 07:04 PM

Mohamed Salah Tiba Di Turkiye Rabu Ini Bagi Rundingan Bersama Trabzonspor

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Mohamed Salah Tiba Di Turkiye Rabu Ini Bagi Rundingan Bersama Trabzonspor
Mohamed Salah--REUTERS

LONDON, 5 Ogos (Bernama-PA Media/dpa) -- Kelab Super Lig Turkiye, Trabzonspor mengumumkan bahawa mereka sedang dalam rundingan untuk menandatangani bekas penyerang Liverpool, Mohamed Salah, lapor PA Media/dpa.

Pemain berusia 34 tahun itu berstatus ejen bebas selepas meninggalkan Anfield musim panas ini selepas sembilan tahun berkhidmat bersama kelab berkenaan, apabila beliau meledak 257 gol dalam 442 penampilan serta memenangi dua gelaran Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara.

Trabzonspor memaklumkan perkembangan terkini kepada penyokong pada Selasa malam dengan menyatakan bahawa Salah dijadualkan tiba di Istanbul pada Rabu.

Trabzonspor memuat naik hantaran di platform media sosial X: “Pemain bola sepak profesional Mohamed Salah, yang telah memulakan perundingan perpindahan bersama kami, akan berada di Terminal Penerbangan Am Lapangan Terbang Ataturk Istanbul pada 12.00 tengah hari pada Rabu, 5 Ogos.

“Pemain berkenaan dijadualkan tiba di Trabzon pada hari yang sama pada sebelah malam.

Masa dan butiran lain berhubung program sambutan di Trabzon akan dikongsikan kepada umum menerusi saluran komunikasi rasmi kelab kami sepanjang hari ini.”

Salah sebelum ini dikaitkan dengan beberapa kelab sejak meninggalkan Merseyside pada penghujung musim lepas termasuk kelab dari MLS dan Arab Saudi, manakala beliau dilaporkan mencapai persetujuan lisan untuk menyertai satu lagi kelab Turkiye, Besiktas, lebih awal dalam jendela perpindahan sebelum rundingan itu terhenti.

Bekas Pemain Terbaik Musim Liga Perdana Inggeris dan pemenang Kasut Emas itu berharap dapat menemui semula prestasi lamanya selepas hanya menjaringkan tujuh gol liga musim lepas.

-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa