Am 05/08/2026 08:36 PM

Dua Vesel Bernilai RM6 Juta Ditahan, Langgar Syarat Sah Lesen Di Perairan Pulau Pinang

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Dua Vesel Bernilai RM6 Juta Ditahan, Langgar Syarat Sah Lesen Di Perairan Pulau Pinang
Kredit: APMM Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 5 Ogos (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan dua vesel nelayan tempatan (VNT) dalam operasi berasingan di perairan negeri ini semalam kerana disyaki melanggar syarat sah lesen yang ditetapkan.

Pengarah Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata tangkapan pertama oleh Kapal Maritim (KM) SIKUATI dilakukan ketika rondaan di kedudukan 36.5 batu nautika selatan Pulau Kendi, dekat sini pada 8.10 pagi.

Beliau berkata pemeriksaan mendapati vesel itu dikendalikan lima anak kapal termasuk seorang tekong yang kesemuanya warga Myanmar berumur 22 hingga 43 tahun dan pemeriksaan mendapati kebanyakan mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

“Hasil siasatan awal juga mendapati vesel tersebut disyaki melanggar syarat sah lesen kerana menggunakan tekong dan kru warga asing tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan selain disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki pas atau permit kerja yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata dalam tangkapan kedua, pihaknya menahan sebuah lagi VNT berhampiran Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) pada 8.15 malam, susulan hasil maklumat risikan.

“Vesel tersebut disyaki melakukan aktiviti penangkapan ikan kurang daripada 12 batu nautika dari pantai, sekali gus melanggar syarat sah lesen yang ditetapkan dan vesel itu didapati dikendalikan oleh empat kru termasuk seorang tekong warga Thailand berusia 31 hingga 69 tahun”, katanya.

Muhammad Suffi berkata kesemua kru serta kedua-dua vesel yang dianggarkan bernilai hampir RM6 juta telah ditahan dan diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin Batu Uban, sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM Pulau Pinang untuk siasatan lanjut.

-- BERNAMA