Am 05/08/2026 09:42 PM

PDRM Sedia Perkukuh Keselamatan Penerbangan, Libat Anggota Dalam AVSEC

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
PDRM Sedia Perkukuh Keselamatan Penerbangan, Libat Anggota Dalam AVSEC
Datuk Seri Mohd Khalid Ismail

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedia memberi kerjasama penuh susulan keputusan Jemaah Menteri mengenai penglibatan anggota polis dalam pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC), sebagai langkah penambahbaikan segera kawalan keselamatan penerbangan negara.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata PDRM bersama-sama Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Pengangkutan (MOT) dan agensi berkaitan, kini sedang memperincikan mekanisme pelaksanaannya.

Beliau berkata perkara itu termasuk skop penugasan, lokasi penempatan, keperluan sumber manusia, bidang tanggungjawab serta penyelarasan operasi.

“PDRM berpandangan bahawa penglibatan pasukan polis dalam ekosistem keselamatan penerbangan, akan memperkukuh keupayaan perkongsian risikan, pengesanan awal, penyelarasan penguatkuasaan serta tindakan segera terhadap sebarang ancaman atau kegiatan jenayah yang cuba mengeksploitasi kemudahan dan prosedur penerbangan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata langkah itu akan menjadi sebahagian daripada sistem keselamatan yang lebih menyeluruh dan berlapis, merangkumi pengukuhan kawalan akses, prosedur saringan, pemeriksaan keselamatan, penilaian risiko serta kerjasama strategik antara semua agensi dan pihak berkepentingan.

Mohd Khalid berkata pelaksanaan kawalan keselamatan yang lebih ketat, bersepadu dan berasaskan risikan, diyakini mampu memperkukuh keupayaan pencegahan, mengurangkan risiko serta menutup ruang yang berpotensi dieksploitasi pihak tidak bertanggungjawab.

“PDRM memberi jaminan bahawa keselamatan penerbangan dan keselamatan pintu keluar masuk negara akan terus diberikan keutamaan.

“Sebarang cubaan menggunakan industri penerbangan sebagai saluran kegiatan jenayah tidak akan dikompromi,” katanya.

Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Seri Fahmi Fadzil hari ini memaklumkan kerajaan akan menempatkan anggota PDRM dalam pasukan AVSEC, sebagai langkah segera memperkukuh kawalan keselamatan di lapangan terbang,  susulan kes juruterbang Malaysia yang ditahan di Indonesia kerana disyaki menyeludup dadah.

-- BERNAMA