GUA MUSANG, 5 Ogos (Bernama) -- Kerajaan mengenal pasti lima keperluan kritikal penduduk Orang Asli di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Pasik dan Kampung Kuala Wok menerusi Program Kembara Rakyat Nenggiri, meliputi pembaikan rumah, penyelesaian isu haiwan liar, bekalan elektrik, Program Pengedaran Barang Perlu dan Program Jualan Rahmah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata hasil lawatan pada 3 dan 4 Ogos lepas mendapati kebanyakan rumah penduduk dalam keadaan uzur dan memerlukan pembaikan segera termasuk penukaran bumbung, pembaikan struktur serta pendawaian semula.
“Terdapat juga permohonan pembinaan rumah baharu susulan pertambahan bilangan penduduk daripada pasangan yang baharu mendirikan rumah tangga dan perkara itu akan dibincangkan bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata penduduk di kedua-dua penempatan berkenaan turut berdepan ancaman gajah liar yang berlarutan sejak 2022 sehingga mengehadkan aktiviti harian mereka.
Mohd Azmawi Fikri berkata kerajaan turut memberi perhatian terhadap permohonan penduduk supaya bekalan petrol RON95 disediakan menerusi Program Pengedaran Barang Perlu RPS Pasik memandangkan stesen minyak terdekat terletak kira-kira 50 kilometer dari penempatan itu, selain meneliti cadangan memperbanyak Program Jualan Rahmah bagi membantu mengurangkan kos sara hidup.
Beliau berkata perjalanan ke RPS Pasik dan Kampung Kuala Wok memerlukan penggunaan kenderaan pacuan empat roda dengan jarak keseluruhan kira-kira 200 kilometer pergi dan balik dari bandar Gua Musang, sekali gus menggambarkan cabaran yang dihadapi penduduk pedalaman untuk mendapatkan bekalan keperluan dan perkhidmatan asas.
-- BERNAMA