Am 05/08/2026 11:29 PM

Xplorasi Warisan KL Menelusuri Perjalanan Kemerdekaan Di Ibu Negara

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Xplorasi Warisan KL Menelusuri Perjalanan Kemerdekaan Di Ibu Negara

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Warisan KL melancarkan Xplorasi Warisan KL: Edisi Merdeka, sebuah pengembaraan warisan yang mengajak rakyat Malaysia menelusuri perjalanan negara menuju kemerdekaan, menerusi lokasi bersejarah di ibu negara.

Program yang bakal berlangsung pada 30 Ogos itu, akan bermula dari Stadium Merdeka, lokasi pengisytiharan kemerdekaan pada 1957, sebelum peserta menamatkan perjalanan di Dataran Merdeka, tempat Jalur Gemilang pertama kali dikibarkan.

Warisan KL dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa eksplorasi berkenaan, menggabungkan elemen penemuan, kerja berpasukan dan cabaran interaktif menerusi aktiviti seperti misi warisan, teka-teki, cabaran fotografi, pengumpulan cop, cabaran digital serta aktiviti kreatif.

“Para peserta akan merentasi koridor warisan sambil menyingkap kisah sejarah, ketahanan dan pembinaan negara sepanjang perjalanan tersebut.

“Inisiatif ini mencerminkan misi Warisan KL, iaitu menghubungkan semula masyarakat dengan warisan ibu kota, memupuk rasa identiti dan kebanggaan bersama, serta mentransformasikan ruang warisan menjadi destinasi yang dinamik untuk pembelajaran, penglibatan dan penyertaan komuniti,” menurut kenyataan itu. 

Menurut kenyataan Warisan KL itu, peserta akan mengakhiri perjalanan dengan menyertai kemeriahan sambutan Ambang Merdeka di Dataran Merdeka, yang turut menampilkan persembahan kebudayaan, bazar, hiburan serta acara hitung mundur Hari Kebangsaan.

“Xplorasi Warisan KL: Edisi Merdeka terbuka kepada orang ramai termasuk keluarga, pelajar, pasukan korporat, peminat warisan, pencipta kandungan dan pelancong, dengan penyertaan terhad kepada 65 pasukan,” menurut kenyataan itu.

Pendaftaran kini dibuka menerusi pautan https://shorturl.at/3gFOn dan penyertaan berdasarkan konsep siapa cepat dia dapat.

-- BERNAMA