Am 05/08/2026 11:47 PM

UTM Mahu Media Jadi Rakan Strategik Sebar Maklumat Berfakta

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
UTM Mahu Media Jadi Rakan Strategik Sebar Maklumat Berfakta
Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Profesor Ts Dr Mohd Shafry Mohd Rahim berucap pada program ramah mesra pengurusan universiti bersama media. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mahu memperkukuh kerjasama strategik dengan organisasi media bagi memastikan penyampaian maklumat berasaskan fakta serta hasil penyelidikan universiti dapat disebarluaskan kepada masyarakat dengan lebih berkesan.

Naib Canselor UTM Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim berkata hubungan erat antara universiti dan media amat penting bagi memastikan maklumat yang sahih, hasil penyelidikan serta kepakaran akademik dapat disampaikan secara tepat, sekali gus memberi manfaat kepada masyarakat.

Beliau berkata institusi pengajian tinggi kini berdepan pelbagai cabaran, termasuk penyebaran dakwaan dan kritikan yang tidak tepat sehingga boleh menjejaskan imej serta kepercayaan masyarakat yang dibina sejak puluhan tahun.

“Universiti mengambil masa berpuluh-puluh tahun untuk dibangunkan, namun gambaran negatif yang tidak tepat mampu menjejaskan reputasi institusi.

“Sebab itu, kita memerlukan hubungan yang lebih rapat dengan media supaya penjelasan berasaskan fakta dapat disampaikan kepada masyarakat dengan segera,” katanya ketika berucap pada Program Ramah Mesra Pengurusan Universiti Bersama Rakan Media di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Pemangku Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Bernama Harlina Samson.

Mohd Shafry berkata UTM juga bersedia berkongsi kepakaran dengan pengamal media menerusi penganjuran kursus berkaitan kecerdasan buatan (AI), selain memperluas akses kepada profesor dan pakar universiti sebagai sumber rujukan bagi membantu penyampaian maklumat yang lebih berkualiti kepada masyarakat.

Beliau berkata UTM turut merancang mekanisme bagi memperhebat perkongsian hasil penyelidikan dan inovasi universiti menerusi media.

Beliau berharap kerjasama berterusan itu dapat memperkasakan ekosistem pendidikan tinggi negara serta mengangkat reputasi UTM di persada dunia.

-- BERNAMA