Dunia 05/08/2026 09:52 PM

Singapura Tahan Lelaki Malaysia Bersama Dadah Bernilai S$361,000 Di Pusat Pemeriksaan Woodlands

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Singapura Tahan Lelaki Malaysia Bersama Dadah Bernilai S$361,000 Di Pusat  Pemeriksaan Woodlands
Kredit: Singapore Central Narcotics Bureau (CNB)

Oleh Anas Abu Hassan

SINGAPURA, 5 Ogos (Bernama) -- Pihak berkuasa Singapura menahan seorang lelaki warga Malaysia kerana disyaki cuba menyeludup dadah, termasuk lebih 8.6 kilogram (kg) ganja dan 1.5 kg syabu, dalam sebuah kereta di Pusat Pemeriksaan Woodlands, menurut Penguasa Imigresen dan Pusat  Pemeriksaan (ICA).

Dalam satu kenyataan, ICA memaklumkan lelaki berusia 22 tahun itu ditahan pada 1 Ogos selepas pegawai menemukan sebuah kotak di dalam but kereta yang mengandungi dua blok bahan dipercayai dadah terkawal, dianggarkan bernilai lebih S$361,000 (S$1=RM3.19).

"Pegawai Biro Narkotik Pusat (CNB) telah dimaklumkan dengan serta-merta mengenai penemuan itu dan menjalankan pemeriksaan lanjut ke atas lelaki berkenaan serta kenderaan terlibat, yang membawa kepada penemuan lebih banyak dadah terkawal di dalam but kereta.

"Sejumlah kira-kira 8,646 gram ganja dan 1,569 gram syabu dirampas, yang berpotensi menampung ketagihan kira-kira 2,132 penagih selama seminggu," menurut kenyataan itu pada Rabu.

Agensi itu turut mengesahkan bahawa di bawah Seksyen 7 Akta Penyalahgunaan Dadah 1973, mana-mana individu yang mengimport atau mengeksport lebih 250 gram methamphetamin atau lebih 500 gram ganja ke atau dari Singapura, boleh berdepan hukuman mati.

-- BERNAMA