KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Teknologi kecerdasan buatan (AI) tidak mampu menggantikan pemikiran dan pertimbangan manusia, sebaliknya hanya berfungsi sebagai alat bantuan dalam proses membuat keputusan, kata bekas Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi.
Beliau yang juga Pengerusi Pertama Digital Berhad berkata walaupun AI boleh digunakan untuk memberikan perspektif baharu dan membantu analisis awal, keputusan akhir masih bergantung kepada penilaian teliti manusia berasaskan pengalaman, etika dan nilai kemanusiaan.
"AI pada masa hadapan tidak akan menggantikan minda manusia tetapi memudahkan pekerjaan manusia.
“Hakim perlu membaca sendiri undang-undang. Tidak boleh bergantung kepada AI sebab AI kadang-kadang ada halusinasi (hallucination)," katanya kepada pemberita selepas Persidangan Wisdom Malaysia 2026 (WMC2026) di sini, hari ini.
Mengulas lanjut mengenai amalan undang-undang berkaitan AI, Zaki yang juga bekas Ketua Hakim Mahkamah Pusat Kewangan Antarabangsa Dubai (DIFC Courts) berkata mahkamah itu telah mengeluarkan arahan supaya pengamal undang-undang memaklumkan kepada mahkamah sekiranya AI digunakan dalam penyediaan penyelidikan atau dokumen berkaitan kes.
“Kalau penyelidik atau peguam itu menggunakan AI, mereka mesti memberitahu mahkamah dalam siasatan mereka mengguna AI. Jadi kita boleh ambil perhatian dan kita lebih waspada,” katanya.
Terdahulu, ketika menyampaikan ucaptama pada persidangan itu, beliau menegaskan bahawa perbezaan pandangan hakim-hakim berpengalaman dalam sesuatu kes membuktikan bahawa pertimbangan manusia tidak boleh digantikan oleh teknologi.
"Manusia tetap manusia, kita boleh berbeza pendapat. Di Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Persekutuan, kita mempunyai lebih daripada satu pemikiran untuk membantu membuat keputusan kerana hakim mungkin mentafsir undang-undang atau menilai kredibiliti bukti dengan cara yang berbeza.
"Itulah sebabnya di mahkamah rayuan, panel yang bersidang dalam jumlah ganjil, iaitu tiga, lima, tujuh atau sembilan supaya keputusan majoriti dapat diputuskan," katanya.
Sementara itu, Pengerusi KerjayaOne PLT Datuk Seri Abdul Mutalib Razak dalam ucapan alu-aluannya, memaklumkan penganjuran persidangan dua hari bertemakan Learning from the Past, Looking to the Future itu bertujuan merapatkan jurang kepimpinan antara generasi.
“Kebijaksanaan lahir daripada pengalaman, membuat keputusan yang sukar, menangani krisis serta mengambil iktibar daripada kejayaan dan kegagalan. Menghimpunkan pemimpin merentasi pelbagai generasi dapat memastikan pengetahuan tersirat ini dipelihara untuk diwarisi bakal peneraju institusi kita pada masa hadapan," katanya.
WMC2026 menampilkan beberapa tokoh kepimpinan korporat dan institusi terkemuka, antaranya bekas Presiden Tenaga Nasional Berhad Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh, Pengerusi Cypark Resources Berhad dan IOI Corporation Berhad Tan Sri Abdul Wahid Omar, serta bekas Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG) Datuk Dr Mohd Khalis Abdul Rahim.
-- BERNAMA