PUTRAJAYA, 5 Ogos (Bernama) -- Kongres Tahunan PKR yang akan diadakan bulan ini, akan menjadi platform untuk parti menilai semula kekuatan dalaman serta mengambil iktibar daripada keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan, kata Ketua Penerangan PKR Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Beliau berkata perwakilan juga dijangka membincangkan pelbagai aspek penambahbaikan termasuk melibatkan kekuatan jentera, persiapan calon, tugasan pemimpin dan perwakilan serta perkara berkaitan dasar kerajaan.
“Sudah pasti pertama, kongres tahunan adalah untuk memenuhi keperluan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) dari segi ketertiban berlandaskan perlembagaan parti.
“Kedua, isu-isu yang akan dibangkitkan oleh perwakilan khususnya dari Johor dan Negeri Sembilan adalah untuk bermuhasabah, serta mengambil pengajaran daripada hal yang telah berlaku dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan,” katanya pada sidang media mingguan di sini hari ini.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata kongres dijadualkan pada 14 hingga 16 Ogos itu turut menjadi platform untuk meneliti tindakan dalaman parti termasuk aspek jentera, pembahagian tugasan, persiapan calon serta perkara berkaitan dasar kerajaan yang mungkin dikemukakan oleh perwakilan.
Beliau berkata langkah berkenaan penting bagi memastikan parti dapat melakukan penambahbaikan serta membuat persediaan menghadapi cabaran akan datang.
-- BERNAMA