Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani
KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) - Ringgit ditutup tinggi sedikit berbanding dolar AS hari ini menjelang pengumuman data ekonomi utama Amerika Syarikat (AS) pada minggu ini, kata seorang penganalisis.
Beliau berkata antara data yang akan diumumkan termasuk laporan gaji bukan ladang (NFP) yang boleh memberikan petunjuk selanjutnya mengenai hala tuju dasar monetari Rizab Persekutuan AS (Fed).
Pada 6 petang, mata wang tempatan meningkat sedikit kepada 4.0920/0960 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.0945/0985 pada Selasa.
Ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar AS (DXY) meningkat 0.03 peratus kepada 99.883 mata ketika para pelabur menunggu pengumuman Indeks Pengurus Pembelian Perkhidmatan oleh Institut Pengurusan Bekalan (ISM) lewat malam ini.
Beliau berkata purata unjuran menunjukkan Indeks Perkhidmatan ISM berada pada 54.5 bagi Julai.
“Terdahulu, Indeks Pembuatan ISM mencatatkan prestasi lebih kukuh daripada jangkaan, menunjukkan bahawa sentimen perniagaan dalam sektor pembuatan kekal berdaya tahan,” katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam berkata pelabur akan memberi tumpuan kepada laporan NFP AS yang akan dikeluarkan pada Jumaat, dengan purata unjuran menunjukkan ekonomi AS menambah 88,000 pekerjaan pada Julai berbanding 57,000 pada Jun.
"Kadar pengangguran dijangka kekal tidak berubah pada 4.2 peratus," katanya.
Sementara itu, beliau berkata turun naik pasaran juga meningkat memandangkan pengerusi Fed yang baharu, Kevin Warsh, kurang cenderung untuk memberikan bayangan mengenai dasar monetarinya.
“Tanpa bayangan jelas daripada Fed, pelabur banyak bergantung kepada unjuran data ekonomi untuk merangka strategi perdagangan mereka, yang mana telah menyebabkan peningkatan ketidakpastian pasaran,” kata Mohd Afzanizam.
Ringgit ditutup rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.
Unit tempatan menyusut berbanding yen Jepun kepada 2.5940/5967 daripada 2.5929/5956 pada Selasa, turun berbanding euro kepada 4.7222/7268 daripada 4.7120/7166 dan merosot berbanding pound British kepada 5.5107/5161 daripada 5.5034/5088 sebelumnya.
Ringgit juga ditutup rendah berbanding mata wang negara-negara ASEAN.
Unit tempatan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.1916/1950 daripada 3.1899/1932 dan menyusut berbanding baht Thailand kepada 12.3216/3381 daripada 12.2487/2654.
Ringgit juga susut berbanding rupiah Indonesia kepada 228.1/228.5 daripada 227.1/227.4 pada Selasa dan berkurangan berbanding peso Filipina kepada 6.73/6.74 daripada 6.69/6.70.
-- BERNAMA