Oleh Nik Nurfaqih Nik Wil
JAKARTA, 5 Ogos (Bernama) -- Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Indonesia berkembang sebanyak 5.29 peratus dari tahun ke tahun pada suku kedua 2026 selepas dipacu oleh pembuatan di bahagian pengeluaran dan penggunaan isi rumah dari segi perbelanjaan.
Timbalan Analisis Perangkaan dan Akaun Nasional Badan Pusat Statistik Indonesia (BPS) M Edy Mahmud berkata KDNK pada harga semasa mencecah 6,552.1 trilion rupiah (1 juta rupiah = RM227.10), manakala KDNK pada harga tetap berjumlah 3,576.2 trilion rupiah.
“Ekonomi Indonesia pada suku kedua 2026 berkembang 5.29 peratus dari tahun ke tahun dan pertumbuhan ini adalah lebih tinggi berbanding 5.12 peratus yang dicatatkan pada suku kedua 2025,” katanya semasa sidang media pada Rabu.
M Edy berkata ekonomi juga melonjak 3.73 peratus dari suku ke suku tahun, manakala pertumbuhan kumulatif dalam separuh pertama 2026 telah mencecah 5.45 peratus berbanding dengan suku yang sama tahun sebelumnya.
Dari segi pengeluaran, pembuatan kekal sebagai sumber pertumbuhan terbesar, ia menyumbang 0.90 mata peratusan selepas berkembang 4.52 peratus dari tahun ke tahun dan menyangga 18.50 peratus daripada KDNK.
“Dari segi perbelanjaan, penggunaan isi rumah merupakan penyumbang terbesar kepada pertumbuhan ekonomi, naik 5.06 peratus dari tahun ke tahun, memberikan 2.67 mata peratusan kepada pertumbuhan dan menyumbang 53.32 peratus daripada KDNK,” katanya.
Menurut M Edy, pembentukan modal tetap kasar menyumbang 2.06 mata peratusan kepada pertumbuhan ekonomi, manakala penggunaan kerajaan memberikan 1.07 mata peratusan, manakala eksport bersih berkurangan sebanyak 0.78 mata peratusan.
Semua sektor perniagaan mencatatkan pertumbuhan dari tahun ke tahun yang positif pada suku kedua kecuali perlombongan.
“Aktiviti perdagangan didorong oleh pengagihan barangan yang lebih tinggi berikutan peningkatan bekalan daripada sektor pertanian dan pembuatan serta import, selain jualan kereta termasuk motosikal yang lebih kukuh, khususnya kenderaan komersial,” katanya.
M Edy menambah, perdagangan menyumbang 0.83 mata peratusan kepada pertumbuhan ekonomi secara keseluruhan, diikuti pembinaan pada 0.62 mata peratusan, manakala, maklumat dan komunikasi pada 0.48 mata peratusan.
-- BERNAMA