IPOH, 5 Ogos (Bernama) -- Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sedang meneroka potensi penubuhan sebuah hospital pakar swasta di Tanjong Malim sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kemudahan kesihatan serta menyokong pembangunan ekosistem bandar ilmu itu pada masa hadapan.
Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata kemudahan hospital pakar swasta tersebut bertujuan menampung keperluan kesihatan pelajar dan petugas antarabangsa yang semakin bertambah di UPSI.
Beliau berkata usaha tersebut merupakan antara perancangan strategik universiti dalam mempersiapkan kemudahan sokongan yang bersesuaian dengan perkembangan semasa dan keperluan komuniti.
“Kita kini sedang melihat potensi kerjasama dengan mana-mana hospital pakar swasta untuk beroperasi di Tanjong Malim ataupun dalam tanah kita di UPSI. Kita akan meneliti model perniagaan yang sesuai bagi merealisasikan hasrat berkenaan,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan UPSI hari ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Syarahan Budiman dan Sesi “Clock Out” Dekan Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) Prof Dr Abdul Talib Mohamed Hashim di Auditorium Utama, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI di Tanjong Malim, Isnin lepas.
Md Amin berkata berkata perancangan tersebut selari dengan keperluan masa hadapan apabila UPSI dan Tanjong Malim terus berkembang sebagai pusat pendidikan serta komuniti yang semakin memerlukan kemudahan sokongan berkualiti.
Beliau berkata UPSI juga mempunyai aspirasi jangka panjang untuk membangunkan kemudahan persaraan di Tanjong Malim, termasuk cadangan membina resort bagi membolehkan warga universiti yang telah bersara terus kekal berhubung dengan kampus.
Dalam pada itu, Md Amin turut menzahirkan penghargaan kepada Abdul Talib atas sumbangan besar beliau sepanjang lebih 20 tahun berkhidmat di UPSI, selain merupakan seorang pemimpin yang mempunyai pendekatan diplomasi tinggi serta sentiasa bersedia membantu universiti dalam menjayakan pelbagai amanah.
“Jasa dan pengorbanan Abdul Talib akan terus dikenang sebagai sebahagian daripada sejarah pembangunan UPSI,” katanya.
-- BERNAMA