Am 03/08/2026 07:22 PM

Young Tigress Jadikan Jelajah Singapura Persiapan Ke Piala Remaja Asia 2026

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Young Tigress Jadikan Jelajah Singapura Persiapan Ke Piala Remaja Asia 2026
Kredit : Laman Facebook Malaysian Hockey Confederation

KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) -- Skuad hoki remaja wanita negara menjadikan Jelajah Singapura yang bermula hari ini sebagai platform persediaan sebelum menghadapi Kejohanan Piala Remaja Asia 2026 di Moqi, China dari 4 hingga 13 Sept ini.

Ketua jurulatih Mohd Nasihin Nubli Ibrahim berkata skuad Young Tigress terpaksa mencari alternatif baharu selepas Korea Selatan membatalkan perancangan ke Kuala Lumpur pada saat-saat akhir.

“Kami sebenarnya merancang untuk mengadakan beberapa perlawanan persahabatan menentang pasukan yang lebih kuat seperti Korea Selatan. Namun, mereka menarik diri pada saat akhir kerana mempunyai kejohanan domestik serta kekangan bajet.

 “Jadi, persiapan kami berubah. Daripada merancang menghadapi pasukan yang lebih kuat, kami gunakan peluang ini untuk menentang pasukan senior Singapura bagi melihat prestasi pemain semasa menentang lawan yang berada di bawah ranking kita,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Nasihin berkata Singapura juga mempunyai corak permainan yang baik seperti yang diharapkan oleh skuad remaja wanita negara.

 “Singapura bermain secara berstruktur. Mereka bertahan dan menyerang secara berpasukan, sama seperti pasukan di peringkat antarabangsa. Itu yang dimahukan pasukan dalam persiapan ini.

 “Keputusan perlawanan bukan keutamaan saya tetapi perkembangan corak permainan pemain dan keberkesanan struktur serangan pasukan dalam empat perlawanan di Singapura,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Nasihin memaklumkan pihaknya membawa 20 pemain ke Singapura manakala tiga lagi pemain, iaitu Nur Zariefah Dania Mazlan, Nur Hanie Najwa Tarmizi dan Iman Adawiyah Mohd Suhaimi diberikan rehat selepas baru pulang daripada Jelajah Eropah bersama skuad senior.

Beliau berkata ini adalah peluang terbaik untuk pemain menunjukkan kemampuan bagi merebut tempat ke Piala Remaja Asia nanti, yang juga pusingan kelayakan ke Piala Dunia Remaja.

“Skuad kali ini juga sangat muda, ramai pemain berusia 18 tahun, malah kami ada tujuh pemain yang baru berumur 16 tahun. Ini menunjukkan kami sedang membina pasukan untuk jangka masa panjang,” katanya.

-- BERNAMA