Am 03/08/2026 07:55 PM

Ketua Pemuda UMNO Maran Antara Empat Maut Dalam Kejadian Pokok Tumbang

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Ketua Pemuda UMNO Maran Antara Empat Maut Dalam Kejadian Pokok Tumbang

KUANTAN, 3 Ogos (Bernama) -- Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata Ketua Pemuda UMNO Bahagian Maran antara empat yang terkorban dalam kejadian pokok tumbang di Jalan Lama Kuala Lumpur menuju ke pintu gerbang Janda Baik, Bentong, tengah hari tadi.

Beliau berkata pemergian Mohd Radzi Rahimi, 40, satu kehilangan besar bukan sahaja kepada keluarga Allahyarham tetapi juga kepada UMNO Bahagian Maran dan UMNO Pahang, khususnya kepada Pergerakan Pemuda negeri itu.

“Allahyarham dikenali sebagai pemimpin muda yang komited, berjiwa rakyat dan sentiasa istiqamah dalam perjuangan parti. 

“Bagi pihak Badan Perhubungan UMNO Pahang, saya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham. Semoga mereka dikurniakan kekuatan, ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi ujian yang amat berat ini,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Menteri Besar Pahang itu memaklumkan kejadian turut mengorbankan tiga ahli keluarga Mohd Radzi, iaitu isteri Nuriani Mohammad Jafri, 36, anak Muhammad Rizz Hazim, lima tahun, serta adik ipar Mohammad Nizam Mohammad Jafri, 35.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh turut mengucapkan takziah kepada keluarga Mohd Radzi.

“Semoga Allah SWT mengampunkan segala dosa, menerima segala amalan serta mengangkat darjatnya di sisi Allah SWT. Semoga pemergian beliau menjadi kerehatan sebenar daripada urusan dunia,” katanya.

Ketua UMNO Bahagian Jerantut Haris Salleh Hamzah juga mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham dan mendoakan mereka dikurniakan kekuatan, kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi ujian itu. 

Terdahulu, polis mengesahkan empat maut manakala seorang kanak-kanak cedera selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka dihempap pokok tumbang dalam kejadian di Jalan Lama Kuala Lumpur menghala ke pintu gerbang Janda Baik, Bentong.

Kanak-kanak yang cedera ialah kembar kepada kanak-kanak yang maut. 

-- BERNAMA