Oleh Thivyamalini Ramalu
PUTRAJAYA, 3 Ogos (Bernama) -- Legasi kepimpinan bekas Ketua Pengarah Penerangan Allahyarham Datuk Mohd Sukari Ab Hamid dalam memperkukuh komunikasi kerajaan akan terus dijadikan panduan warga jabatan itu, khususnya dalam memastikan keseimbangan antara pendekatan digital dan program lapangan.
Ketua Pengarah Jabatan Penerangan (JAPEN) Erwin Khairul Ahmad berkata antara sumbangan terbesar Allahyarham ialah kepakaran luas dalam merancang dan melaksanakan program lapangan yang berkesan untuk mendekati rakyat.
“Allahyarham ialah ketua jabatan yang telah mengharungi pelbagai zaman cabaran komunikasi, daripada kaedah tradisional sehingga ke era digital, daripada zaman aman sehingga semasa mendepani krisis pandemik COVID-19. Pengalaman luas dan setiap tunjuk ajar beliau wajib dijadikan teladan.
“Beliau juga tahu kaedah menyusun elemen program supaya mesej kerajaan bukan sahaja sampai, malah diterima baik oleh pelbagai lapisan masyarakat, daripada komuniti akar umbi sehingga ke peringkat korporat,” katanya semasa dihubungi Bernama hari ini.
Erwin Khairul berkata sumbangan, keringat dan legasi Allahyarham perlu diteruskan agar terus hidup dan kekal subur dalam setiap tugasan yang diamanahkan kepada warga JAPEN.
“Jika semangat, dedikasi dan acuan kerja beliau terus dibawa dan dijiwai, saya percaya seluruh warga JAPEN akan berjaya menghadapi apa sahaja cabaran dalam agenda komunikasi masa kini, tidak kira seberapa kompleks sekalipun cabaran itu,” katanya.
Erwin Khairul berkata ketika JAPEN mula melangkah ke era transformasi digital, Allahyarham sentiasa terbuka untuk menerima perubahan dan memberikan sokongan kepada idea baharu yang kreatif.
“Namun yang paling saya kagumi ialah prinsip beliau, iaitu sejauh mana kita memacu teknologi digital, kita tidak boleh melupakan sentuhan kemanusiaan. Beliau sentiasa memastikan wujud keseimbangan antara program bersemuka dan strategi komunikasi digital,” katanya.
Selain itu, Erwin Khairul menyifatkan Allahyarham sebagai seorang pemimpin yang sentiasa tenang walaupun sedang berhadapan tekanan tinggi termasuk semasa negara berhadapan pandemik COVID-19.
“Dalam apa jua situasi genting, saya tidak pernah melihat Allahyarham panik apatah lagi marah. Apabila seorang ketua kekal tenang, petugas akan menjadi yakin dan percaya setiap masalah ada jalan penyelesaian,” katanya.
Beliau berkata Allahyarham juga dikenali sebagai individu yang merendah diri, bersopan santun dan sentiasa memberi ruang kepada semua petugas mengemukakan pandangan sebelum membuat keputusan.
Mohd Sukari, 65, meninggal dunia hari ini dan jenazah dikebumikan selepas solat Asar di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah Kampung Melayu, Kepong.
Beliau dilantik sebagai Ketua Pengarah Penerangan pada 7 Dis 2020 dan bersara pada 20 Mac 2024.
Terdahulu, Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil turut mengucapkan takziah kepada keluarga Mohd Sukari dan menyifatkan pemergian Allahyarham meninggalkan kesan mendalam kepada seluruh warga Kementerian Komunikasi, khususnya JAPEN.
-- BERNAMA