Oleh Sakini Mohd Said
KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Melihat pada wajahnya, tiada siapa menyangka pesara guru Linda Tai Shon Lian, 69, mampu berbahasa Melayu dengan begitu fasih hingga ramai menyangka beliau berketurunan Melayu atau Cina Peranakan.
Namun, bagi penduduk di Taman Bukit Teratai, Ampang wanita berbangsa Cina itu lebih dikenali dengan gelaran “OCBC” atau “Orang Cina Bukan Cina”, bukan sebagai sindiran, sebaliknya kerana penguasaan bahasa Melayu selain loghat Melaka dan Negeri Sembilan serta kecintaannya terhadap budaya tempatan yang menjadikan beliau mudah diterima dalam masyarakat pelbagai kaum.
Keistimewaan wanita yang mesra disapa Mami Linda itu tidak terhenti di situ, beliau turut petah berpantun, mampu mendendangkan lagu-lagu Melayu dengan lenggok asli, pandai membaca dan menulis Jawi serta mengakui lebih memahami adat resam masyarakat Melayu dan India berbanding budaya kaumnya sendiri.
Menurut Mami Linda, semua itu bukan sesuatu yang dirancang sebaliknya lahir daripada kehidupan dilaluinya sejak kecil apabila membesar dalam persekitaran majoritinya masyarakat Melayu di sebuah penempatan rumah kedai di Kampung Pantai Belimbing, Melaka selain mempunyai keluarga angkat Melayu yang dipanggilnya “Abah” dan “Mak Ros”.
“Dari saya kecil hinggalah dewasa, keluarga kami memang cakap bahasa Melayu dan loghat Negeri Sembilan kerana perkampungan didiami terletak antara sempadan Melaka dan Negeri Sembilan. Malah, bahasa Cina saya belajar daripada suami ketika berhijrah ke Kuala Lumpur semasa menjadi cikgu pada 1982.
“Bahasa Cina saya memang tidak fasih dan kerana itu, rakan dan jiran di sini melabelkan saya OCBC kerana wajah orang Cina tetapi tidak pandai bercakap Cina. Saya tidak kisah pun panggilan itu kerana jiwa saya memang jiwa Melayu, segala kehidupan keluarga kami pun memang amal budaya Melayu,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini.
Ibu kepada dua cahaya mata itu menjadi perhatian di media sosial apabila videonya mendendangkan lagu Melayu era 90-an dan tradisional yang dimuat naik anaknya di akaun TikTok @Jamine Leong Ai Len meraih ribuan tontonan, tanda suka dan komen.
Kebanyakannya bukan sahaja kagum dengan kebolehannya mengalunkan lagu Melayu dengan sebutan dan lenggok yang begitu asli bahkan turut tertanya-tanya bagaimana Mami Linda mampu bertutur dalam bahasa Melayu dengan begitu fasih.
Malah ada juga yang mencadangkan bekas guru bahasa Inggeris dan Matematik itu dilantik sebagai duta bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat bukan Melayu kerana disifatkan mereka sebagai contoh bahawa bahasa kebangsaan mampu menyatukan rakyat tanpa mengira bangsa dan latar belakang.
Bukan sahaja bahasa, air tangan Mami Linda turut mencerminkan kehidupannya yang akrab dengan budaya Melayu apabila mahir menyediakan pelbagai hidangan tradisional seperti asam pedas Melaka, rendang dan ayam kicap hingga sering menerima tempahan daripada rakan-rakan Melayu terutama pada musim perayaan.
Menurutnya, pengalaman hidup bersama masyarakat Melayu turut menjadikan beliau memahami aspek halal dan haram dalam penyediaan makanan, sekali gus membuatkan rakan-rakan tidak ragu-ragu menikmati masakannya.
Kefasihan berbahasa Melayu juga menyebabkan Mami Linda sering menjadi tempat rujukan rakan-rakan yang kurang fasih apabila berurusan dengan agensi kerajaan atau mendapatkan perkhidmatan awam.
“Saya lahir tahun merdeka dan rakan-rakan yang juga warga emas kebanyakannya tidak fasih berbahasa Melayu. Mungkin masa itu, mereka tidak membesar sepertimana saya di kampung. Jadi, ramai rakan meminta saya menemani mereka ke klinik contohnya untuk memudahkan urusan,” katanya.
Bagi Mami Linda kecintaannya terhadap bahasa dan budaya Melayu tidak pernah menghakis identitinya sebagai seorang berbangsa Cina, sebaliknya menjadikan beliau lebih memahami budaya masyarakat lain dan menghargai kepelbagaian yang menjadi kekuatan Malaysia.
Atas pegangan itu, beliau menghantar kedua-dua anaknya ke sekolah kebangsaan supaya mereka juga dapat menguasai bahasa Melayu selain mengikuti kelas agama untuk mempelajari tulisan Jawi kerana percaya bahasa kebangsaan mampu menjadi asas kepada persefahaman dan perpaduan antara kaum.
“Saya mempunyai hubungan baik dengan ustazah dan anak saya juga pandai membaca doa seperti doa penerang hati. Mereka sudah besar dan boleh berbahasa Melayu sama seperti saya dan kami tetap bangsa Cina, sedikit pun tidak hilang identiti bangsa hanya semata-mata kami selesa berbudaya Melayu,” katanya.
Sementara itu, pensyarah Fakulti Undang-Undang Universiti Multimedia (MMU) Prof Dr R Ramalinggam berkata kisah Mami Linda membuktikan bahasa Melayu bukan sekadar alat komunikasi malah menjadi wahana perpaduan yang merapatkan jurang antara masyarakat pelbagai kaum.
Beliau berkata penguasaan bahasa kebangsaan tidak pernah menghakis identiti etnik seseorang kerana setiap rakyat masih boleh mengekalkan bahasa ibunda masing-masing sambil menguasai bahasa Melayu.
“Apabila kita menguasai bahasa sesuatu kaum, kita sebenarnya sedang membuka pintu kepada budayanya. Saya sendiri membesar dalam persekitaran masyarakat Melayu hingga bahasa Melayu menjadi bahasa yang saya kuasai dengan baik.
“Saya percaya bahawa kecintaan kepada bahasa Melayu tidak pernah menuntut kita untuk meninggalkan bahasa ibunda, sebaliknya rakyat Malaysia bertuah kerana dapat menguasai lebih daripada satu bahasa,” katanya yang juga anggota Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
-- BERNAMA