Dunia 04/08/2026 12:12 PM

Boeing Peroleh Pensijilan FAA Bagi Pesawat 737-7

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Boeing Peroleh Pensijilan FAA Bagi Pesawat 737-7
Pesawat baharu 737-7 - Kredit: Boeing

NEW YORK, 4 Ogos (Bernama-dpa) -- Syarikat penerbangan gergasi Amerika Syarikat (AS), Boeing memperoleh pensijilan daripada Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) bagi pesawat baharu 737-7, menurut syarikat itu pada Isnin, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

Boeing memaklumkan 737-7, model paling kecil dan mempunyai jarak penerbangan paling jauh dalam dalam siri 737 MAX, telah mendapat kelulusan untuk perkhidmatan komersial.

Syarikat itu pada asalnya merancang untuk memulakan operasi model berkenaan seawal 2019.

Bagaimanapun, pengeluar pesawat itu tertakluk kepada pengawasan ketat FAA, antaranya susulan dua nahas maut membabitkan pesawat 737 MAX.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Boeing Commercial Airplanes Stephanie Pope berkata pensijilan itu membuktikan ketelitian proses pembangunan dan penilaian pesawat berkenaan.

“Pasukan jurutera dan pakar ujian kami yang berdedikasi mengharungi pelbagai cabaran, tempoh pandemik yang berpanjangan serta peralihan kepada proses pensijilan baharu.

“Sepanjang tempoh itu, pasukan kami kekal fokus untuk memenuhi semua keperluan serta menyediakan pesawat yang selamat dan lebih berkeupayaan kepada pelanggan,” kata beliau.

FAA berkata kelulusan itu mencerminkan usaha berterusan selama bertahun-tahun untuk menyelesaikan isu teknikal yang rumit serta melengkapkan semakan menyeluruh terhadap reka bentuk pesawat dan analisis keselamatan berkaitan.

Pesawat 737-7 mampu memuatkan antara 135 hingga 160 penumpang serta menawarkan jarak penerbangan sehingga 7,040 kilometer.

Boeing berkata seperti pesawat 737 MAX yang lain, 737-7 mampu mengurangkan penggunaan bahan api dan pelepasan karbon dioksida sebanyak 20 peratus serta jejak bunyi sebanyak 50 peratus berbanding pesawat yang lazimnya digantikan oleh model itu.

-- BERNAMA-dpa