GUA MUSANG, 4 Ogos (Bernama) -- Lebih 1,000 Orang Asli suku kaum Temiar di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Pasik merebut peluang menebus Sumbangan Asas Rahmah (SARA) untuk membeli barangan keperluan harian dengan lebih murah menerusi Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM).
Penduduk Kampung Ayong, Ramli Chimbong, 51, berkata sebelum ini penduduk perlu keluar ke Kampung Jerek, yang mengambil masa kira-kira dua jam setengah perjalanan semata-mata untuk membeli pelbagai jenis barang keperluan seperti beras, minyak masak dan gula.
"Saya bukan sahaja terpaksa menempuh perjalanan yang jauh, malah perlu memperuntukkan sekurang-kurangnya RM600 termasuk kos sewa kenderaan dan makan minum. Apabila PJRM dibuat di kampung ini, saya dapat berjimat dan membeli barang keperluan dengan lebih mudah.
"Harga memang sangat murah berbanding kedai di kampung kami, sebagai contoh harga beras boleh mencecah RM40 bagi sembilan kilogram, tetapi hari ini dijual pada harga RM29 sahaja untuk berat yang sama memang berbaloi dan membantu meringankan beban kami," katanya kepada pemberita di RPS Pasik, di sini hari ini.
Bagi pemilik SMS Maju Solution Sabariah Mohamed Sayuti berkata pihaknya membawa 100 jenis barang keperluan asas termasuk 300 kampit beras, 300 papan telur dan 300 ekor ayam dan rata-rata pengunjung di kampung ini mula menyerbu membeli barangan seawal 9 pagi, selain mempunyai baki SARA yang masih banyak.
"Ada yang mempunyai baki RM300 hingga RM800 dalam MyKad mereka, jarang kami jumpa yang hanya ada RM100 baki terkumpul.
"Program ini merupakan pengalaman pertama kami sertai PJRM ke Pos Pasik bagi memudahkan penduduk di kawasan pedalaman mendapatkan barangan keperluan tanpa perlu keluar ke bandar," katanya yang terpaksa berdepan dengan cabaran tayar kenderaan membawa muatan pecah ekoran keadaan jalan yang berbatu dan berselut.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata inisiatif kerajaan mengadakan PJRM dapat membantu penduduk luar bandar dalam menangani peningkatan kos sara hidup.
"Kita berharap program seumpama ini dapat diperluas lagi di semua perkampungan Orang Asli untuk membolehkan semua rakyat menikmati kemudahan yang disediakan kerajaan dengan lebih mudah," katanya.
-- BERNAMA