KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Syarikat tersenarai Malaysia terus mencapai kemajuan yang mantap dalam prestasi alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) mereka, dengan purata wajaran FTSE4Good ESG Score merentas Pasaran Utama termasuk ACE meningkat 8.8 peratus antara Jun 2025 dan Jun 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Bhd Datuk Fad'l Mohamed berkata bilangan syarikat empat bintang di Pasaran Utama menokok kepada 146 daripada 88, manakala syarikat tiga bintang dalam Pasaran ACE melonjak kepada 78 berbanding 42 sebelum ini.
“Bursa Malaysia akan terus menyokong syarikat-syarikat kami melalui penglibatan industri, bantuan dengan pelaksanakan Rangka Kerja Pelaporan Kelestarian Nasional dan Penyelesaian Perisikan Kelestarian Berpusat (CSI) kami. Inisiatif ini direka bagi membantu syarikat menavigasi pelaporan kelestarian selain meningkatkan pendedahan mereka,” katanya semasa berucap di The Edge Centurion Club 2026 di sini hari ini.
Fad'l berkata sebuah syarikat yang memahami penggunaan tenaga, rantaian bekalan, tadbir urus dan kakitangannya adalah lebih bersedia untuk mengatasi gangguan, mengurus risiko serta mengekalkan prestasi jangka panjang.
“Nilai korporat jangka panjang diwujudkan melalui pengurusan berkesan tiga bentuk modal iaitu kewangan, semula jadi dan sosial,” katanya.
Modal kewangan terdiri daripada aset, sumber dan pendapatan yang memacu pertumbuhan, manakala modal semula jadi merangkumi sistem tenaga, air, bahan serta alam sekitar yang menyokong operasi perniagaan.
“Modal sosial, sementara itu, mencerminkan kepercayaan dan hubungan yang dibina syarikat dengan pekerja, pelanggan, pembekal, pelabur dan komuniti.
“Syarikat yang kukuh tidak sekadar menguruskan satu bentuk modal, tetapi tiga. Nilai jangka panjang dicipta di persimpangan ketiga-tiga bentuk modal ini,” katanya lagi.
-- BERNAMA