KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Seiring perubahan landskap maklumat digital, perkhidmatan perpustakaan digital seperti u-Pustaka dan BERNAMA Library and Infolink Service (BLIS) terus memperkukuh pembudayaan ilmu dengan menyediakan akses kepada sumber maklumat yang sahih, berkualiti dan dipercayai.
Pengarah Perpustakaan Digital Negara (PERDANA), Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) Ali Rashid berkata u-Pustaka berfungsi sebagai hab maklumat digital negara yang membolehkan rakyat mengakses jutaan bahan digital serta meminjam bahan fizikal daripada 12 perpustakaan konsortium di seluruh negara.
Beliau berkata portal itu menawarkan pelbagai sumber percuma seperti e-buku, e-jurnal, e-majalah, buku audio, video, bahan pembelajaran interaktif dan pangkalan data ilmiah bagi menyokong pembelajaran sepanjang hayat.
"Bukan sahaja bahan digital yang kami sediakan, malah pengguna di seluruh negara, termasuk di Sabah, boleh meminjam bahan bacaan fizikal menerusi perkhidmatan Pos Malaysia yang dihantar terus ke rumah atau pejabat.
"Ini antara nilai tambah u-Pustaka yang membolehkan pengguna memanfaatkan pelbagai pangkalan data untuk pembelajaran sepanjang hayat, penyelidikan mahupun tugasan harian," katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk Maklumat Digital: Memperkaya Ilmu, Memperkasa Pengetahuan, yang turut menampilkan Pengurus Kanan Perpustakaan Digital Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Hasnita Ibrahim.
Mengulas lanjut, Ali yang juga Naib Presiden II Persatuan Pustakawan Malaysia (PPM) berkata u-Pustaka kini mempunyai hampir 1.2 juta ahli, namun usaha memperluas keahlian akan terus dipergiat bagi membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia memanfaatkan kemudahan itu.
Beliau berkata u-Pustaka turut menyediakan akses kepada pangkalan data antarabangsa serta platform pembelajaran digital seperti MyGuru, i-LEARN Ace dan BLIS bagi memudahkan proses ulang kaji dan penyelidikan.
Sementara itu, Hasnita berkata BLIS ialah pangkalan data berita dan maklumat yang memfokuskan kandungan berkaitan Malaysia, merangkumi isu semasa, arkib, ekonomi, politik, sosial, industri, sukan dan alam sekitar.
Menurut beliau, BLIS kini mengandungi 12 modul utama termasuk Berita Bernama, arkib berita sejak 1968, berita antarabangsa, laporan sektor, direktori, fakta dan angka serta kalendar acara.
"Platform BLIS turut dinaik taraf seiring perkembangan teknologi menerusi penyerapan ciri kecerdasan buatan (AI), penyuntingan multimedia yang merangkumi video, imej dan audio, kemudahan analitik serta sistem e-pembayaran bagi meningkatkan pengalaman pengguna," katanya.
Hasnita yang juga Presiden PPM berkata BLIS bukan sahaja dimanfaatkan oleh warga Bernama, malah menjadi sumber rujukan utama agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi, penyelidik, pengamal media serta orang ramai.
Orang ramai boleh mendaftar sebagai ahli u-Pustaka menerusi portal rasmi www.u-pustaka.gov.my, manakala agensi atau organisasi yang berminat untuk melanggan BLIS boleh menghubungi Bahagian Langganan, Jabatan Komersial Bernama di talian 03-2631 1394 atau melalui e-mel izzul@bernama.com.
-- BERNAMA