KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Portfolio sukuk Perbadanan Pengurusan Likuiditi Islam Antarabangsa (IILM) meningkat kepada paras tertinggi baharu sebanyak US$7.4 bilion susulan terbitan dan terbitan semula sukuk jangka pendek bernilai US$1.192 bilion (US$1=RM4.07) pada hari ini.
Menerusi kenyataannya, penerbit instrumen pengurusan mudah tunai jangka pendek patuh Syariah itu memaklumkan pencapaian berkenaan adalah peningkatan kali ketiga berturut-turut bagi portfolio sukuk belum matang IILM menerusi tiga lelongan terakhir, sekali gus mencerminkan permintaan global yang berterusan terhadap instrumen yang mendapat penarafan tinggi.
Penerbitan dan terbitan semula itu merangkumi lima tempoh iaitu 3.85 peratus bagi US$250 juta untuk tempoh dua minggu; 3.90 peratus bagi US$330 juta (sebulan); 4.00 peratus bagi US$537 juta (tiga bulan); 4.04 peratus bagi US$61 juta (enam bulan) dan 4.06 peratus bagi US$14 juta bagi 12 bulan.
“Lelongan hari ini menjana jumlah pesanan dengan agregat kira-kira US$2.61 bilion atau terlebih langganan sebanyak 2.19 kali.
“Sambutan yang kukuh itu memaparkan keyakinan berterusan terhadap instrumen jangka pendek IILM yang mendapat penarafan tinggi serta peranannya dalam menyokong pengurusan kecairan atau mudah tunai rentas sempadan,” menurutnya.
IILM juga menyifatkan pencapaian itu sebagai mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai antara penerbit sukuk terbesar dan paling aktif di dunia selain memperkukuh peranan penting untuk menyokong pengurusan kecairan Islam rentas sempadan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IILM Mohamad Safri Shahul Hamid berkata permintaan pelabur yang terus kukuh terhadap sukuk IILM mencerminkan peningkatan kepentingan instrumen patuh Syariah berkualiti tinggi dalam persekitaran pasaran pada masa ini.
“Meskipun terdapat ketidaktentuan di serata pasaran kewangan global dan perkembangan geopolitik yang goyah, pelabur terus menghargai kualiti kredit, penawaran konsisten dan manfaat kecairan ditawarkan oleh sukuk jangka pendek IILM,” katanya.
Mohamad Safri berkata sebagai satu-satunya penerbit tetap instrumen kecairan Islam jangka pendek dalam denominasi dolar AS dengan penarafan tinggi, IILM kekal komited dalam menyokong keperluan pengurusan kecairan institusi kewangan Islam di seluruh dunia selain menyumbang kepada pembangunan dan kestabilan keseluruhan industri perkhidmatan kewangan Islam.
-- BERNAMA