Am 04/08/2026 11:58 PM

Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak Di Kapit

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak Di Kapit
Kredit : FB Unit Komunikasi Awam Sarawak - UKAS

KAPIT, 4 Ogos (Bernama) -- Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2026 akan berlangsung di Kapit pada 30 dan 31 Ogos ini dengan pelbagai acara disusun bagi menyemarakkan semangat patriotisme, memperkukuh perpaduan serta memupuk rasa cinta akan negara dalam kalangan rakyat.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak yang juga menteri bertanggungjawab bagi sambutan itu Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata Perhimpunan Hari Kebangsaan dijadual dihadiri Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Sambutan itu bukan sahaja menjadi platform meraikan Hari Kebangsaan, malah wadah memperkukuh semangat muafakat, menghargai jasa tokoh terdahulu serta mengeratkan perpaduan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata tiga acara utama telah disusun bagi sambutan itu iaitu Ambang Hari Kebangsaan di Kapit Town Square pada malam 30 Ogos, diikuti Unity Walk pada 7 pagi 31 Ogos yang dijadual turut dihadiri Wan Junaidi serta Perhimpunan Hari Kebangsaan di pekarangan Dewan Suarah Kapit pada 11 pagi hari sama.

Rundi turut mengajak orang ramai khususnya penduduk Kapit dan kawasan sekitarnya hadir bagi memeriahkan sambutan berkenaan manakala mereka yang tidak dapat berbuat demikian boleh mengikuti siaran langsung menerusi TVS dan platform media sosial rasmi Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

-- BERNAMA