KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Kerajaan sedang meneroka potensi teknologi penyahgaraman air laut sebagai antara sumber air alternatif bagi menyokong pembangunan industri dengan keperluan air yang tinggi, termasuk pusat data.
Kementeran Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) memaklumkan penggunaan itu perlu mengambil kira kesesuaian lokasi, keperluan tenaga, kos pengeluaran air serta daya maju ekonomi sebelum dilaksanakan pada skala lebih meluas.
“Selain memerlukan bekalan tenaga yang stabil, pusat data juga memerlukan bekalan air yang mencukupi bagi tujuan sistem penyejukan.
“Sehubungan itu, kerajaan mengambil pendekatan jangka panjang bagi memastikan pembangunan industri strategik ini dapat terus disokong tanpa menjejaskan keselamatan bekalan air kepada rakyat,” menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis Dewan Negara dikeluarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.
Kenyataan itu sebagai menjawab soalan Senator Dr Jufitru Joha mengenai usaha menggunakan kaedah penyahgaraman air laut bagi dijadikan sumber dan kaedah utama penyejukan pusat data sebagaimana digunakan di negara-negara lain.
PETRA juga menegaskan bahawa pembangunan pusat data tidak seharusnya bergantung sepenuhnya kepada bekalan air terawat yang diutamakan untuk kegunaan domestik.
Sebaliknya, industri dengan kadar penggunaan air yang tinggi digalakkan memanfaatkan sumber air alternatif yang sesuai seperti Air Pulih Guna (APG), penyahgaraman air laut serta sumber bukan konvensional lain mengikut kesesuaian lokasi dan keperluan operasi.
“Pendekatan ini membolehkan pertumbuhan ekonomi digital negara terus dipacu secara mampan, di samping memastikan bekalan air terawat kekal diutamakan untuk kegunaan rakyat,” menurutnya.
Bagi tujuan itu juga, PETRA melalui Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) sedang melaksanakan penyelidikan berkaitan kesesuaian teknologi penyahgaraman air laut bagi kawasan kepulauan serta projek pembinaan loji berkaitan bagi membekalkan air bersih kepada Pos Keselamatan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).
“Penyelidikan dan projek rintis ini akan menjadi asas kepada penilaian aspek teknikal, ekonomi dan kebolehlaksanaan pelaksanaan teknologi penyahgaraman di Malaysia sebelum dipertimbangkan untuk digunakan lebih meluas, termasuk bagi sektor perindustrian,” menurutnya.
Bagi memenuhi keperluan semasa pusat data, PETRA menyatakan kerajaan turut menggalakkan penggunaan sumber air alternatif yang telah tersedia dan lebih ekonomik seperti APG dan Sistem Penuaian Air Hujan (SPAH).
“Pada masa ini terdapat empat Loji Rawatan APG di Semenanjung Malaysia yang membekalkan air kepada pusat data dengan jumlah kapasiti pengeluaran sebanyak 19.5 Juta Liter Sehari.
“Pendekatan ini membantu mengurangkan kebergantungan industri kepada bekalan air terawat di samping meningkatkan kecekapan penggunaan sumber air negara,” menurut kementerian itu.
-- BERNAMA