KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Nilai eksport yang direkodkan di Zon Perindustrian Bebas (FIZ) telah mencecah RM106.7 bilion bagi tempoh Januari sehingga Jun 2026, mencerminkan momentum pertumbuhan yang kekal kukuh.
Menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, untuk 2025, eksport melalui FIZ naik 9.3 peratus berbanding RM172.3 bilion yang direkodkan pada tahun sebelumnya.
“Dari segi eksport, berdasarkan data Jabatan Kastam Diraja Malaysia, nilai eksport yang direkodkan di FIZ meningkat 22.7 peratus daripada RM153.5 bilion pada 2021 kepada RM188.3 bilion pada 2025,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis Dewan Negara yang dikeluarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.
Kementerian itu menjawab soalan Senator Rita Sarimah Anak Patrick Insol mengenai sama ada sumbangan zon bebas dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini terhadap eksport, pelaburan dan pekerjaan negara dianggap memuaskan serta langkah kerajaan untuk meningkatkan nilai tambah industri agar tidak hanya bergantung kepada aktiviti pemasangan dan eksport asas.
MITI berkata sumbangan Zon Bebas, khususnya FIZ dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini adalah amat memuaskan dan ia akan terus menjadi antara pemangkin utama kepada pertumbuhan pelaburan, eksport serta pewujudan peluang pekerjaan berkualiti di negara ini.
Sebagai contoh, MITI berkata FIZ Bayan Lepas berperanan penting dalam pembangunan industri elektrikal dan elektronik (E&E), semikonduktor dan peranti perubatan.
“Untuk tempoh 2021 hingga 2025, eksport Pulau Pinang berkembang pada kadar purata tahunan 13.5 peratus manakala bagi tempoh Januari hingga Mei 2026, eksport negeri tersebut meningkat 63.1 peratus kepada RM349.35 bilion bersamaan 44 peratus daripada jumlah eksport negara,” katanya.
Sehingga kini, terdapat sebanyak 48 kawasan Zon Bebas yang dikawal selia di bawah Akta Zon Bebas 1990 (Akta 438) yang terdiri daripada 27 Zon Perdagangan Bebas yang dikhususkan untuk aktiviti perdagangan dan 21 FIZ yang dikhususkan bagi menjalankan aktiviti pengilangan.
Sementara itu, MITI berkata meskipun data pelaburan tidak diasingkan secara khusus mengikut klasifikasi Zon Bebas, lokasi-lokasi yang menempatkan zon bebas utama seperti Selangor, Johor, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur terus menjadi penerima utama pelaburan negara.
“Untuk tempoh Januari hingga Mac 2026, sebanyak RM92.8 bilion pelaburan telah diluluskan melibatkan 1,249 projek dengan potensi mewujudkan 50,226 peluang pekerjaan.
“Negeri yang merekodkan kelulusan tertinggi juga merupakan negeri yang mempunyai zon bebas terkemuka seperti Selangor (RM33.5 bilion), Johor (RM16.9 bilion), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM16.9 bilion) dan Pulau Pinang (RM6.2 bilion),” katanya.
-- BERNAMA