LUMUT, 4 Ogos (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat merasmikan Dewan Merdeka Majlis Perbandaran Manjung dekat sini hari ini.
Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim dan Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.
Keberangkatan tiba baginda berdua pada 11.15 pagi diiringi Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri Datin Seri Aezer Zubin.
Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Saarani dalam sembah ucapannya berkata perasmian Dewan Merdeka pada hari ini menjadi penanda kepada tiga perjalanan yang saling bertaut.
“Pertama, tertunainya sebuah ikhtiar yang dirintis sejak 2016. Kedua, kita meraikan perjalanan suku abad Majlis Perbandaran Manjung dan ketiga, terbentangnya lembaran baharu ke arah Bandar Raya Pelancongan dan Maritim menjelang 2030.
“Dibangunkan dengan kos RM12.7 juta dan berkapasiti 2,500 orang, Dewan Merdeka bukan sahaja menyediakan ruang untuk penganjuran program rasmi, persidangan dan kegiatan kemasyarakatan, malah menjadi pemangkin kepada perkembangan sebuah daerah yang sedang melangkah yakin mencipta kecerahan masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata hasrat membina semula dewan itu bermula pada 2016, dan Menteri Besar Perak ketika itu telah berjuang mengangkat keperluan pembinaan semula dewan ini sehingga membawa kepada kelulusan peruntukan Kerajaan Persekutuan.
Saarani berkata penyempurnaan projek itu memperlihatkan nilai kesinambungan pentadbiran dan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri, selain nama Dewan Merdeka mengingatkan kemerdekaan adalah amanah yang perlu terus dipelihara serta diisi nilai-nilai mengangkat martabat masyarakat.
“Semoga dewan ini menjadi tempat lahirnya ilmu, terbinanya persefahaman, suburnya semangat muafakat serta berkembangnya pelbagai usaha yang membawa manfaat kepada rakyat dan negeri,” katanya.
Beliau berkata perasmian itu menjadi lebih bermakna kerana berlangsung bersempena dengan sambutan Jubli Perak 25 Tahun Majlis Perbandaran Manjung, yang ditubuhkan pada 1 Jan 1980 sebagai Majlis Daerah, sebelum berkembang menjadi Majlis Perbandaran pada 1 Ogos 2001.
-- BERNAMA