KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Kumpulan Maybank hari ini memperkukuh komitmennya dalam memperkasa komuniti dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat menerusi penyaluran dana zakat perniagaan Kumpulan Kewangan Islam Maybank berjumlah RM6.5 juta kepada Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), termasuk pelaksanaan Insentif Awal Perkahwinan Asnaf Wilayah Persekutuan yang bertujuan membantu golongan asnaf membina kehidupan yang lebih sejahtera dan berdaya tahan.
Majlis yang disaksikan oleh YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), ini memperteguhkan peranan zakat sebagai pemangkin pembangunan sosioekonomi yang mampu meningkatkan kesejahteraan masyarakat, memperkukuh institusi keluarga dan membuka peluang kepada komuniti yang memerlukan untuk membina masa depan yang lebih berdaya tahan.