Am 04/08/2026 05:05 PM

Kempen 'Fall In Love With Penang' Galak Rakyat Malaysia Teroka Semula Pulau Pinang - Exco

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kempen 'Fall In Love With Penang' Galak Rakyat Malaysia Teroka Semula Pulau Pinang - Exco

GEORGE TOWN, 4 Ogos (Bernama) -- Pulau Pinang melancarkan kempen 'Fall In Love with Penang' hari ini sebagai usaha menggalakkan rakyat Malaysia meneroka semula negeri itu bagi memperkukuh sektor pelancongan domestik, di samping mengekalkan momentum ketibaan pelancong antarabangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Wong Hon Wai berkata kempen itu menandakan perubahan strategi negeri yang sebelum ini memberi tumpuan kepada promosi pasaran di luar negara seperti China, Asia Tenggara dan India.

"Ini merupakan kali pertama kita (Kerajaan Negeri Pulau Pinang) melancarkan kempen khusus untuk pasaran domestik kerana kita mahu rakyat Malaysia menemukan semula keunikan Pulau Pinang dan produk-produk pelancongan baharu yang ditawarkan.

"Usaha mempergiat promosi pelancongan domestik ini susulan konflik geopolitik di Asia Barat yang memberi kesan kepada corak perjalanan pelancong di peringkat global dan lanjutan kempen Tahun Melawat Malaysia hingga 2027," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan kempen berkenaan di sini yang turut dihadiri Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Pulau Pinang Dr Annuar Mohamed.

Wong berkata walaupun Pulau Pinang terus mempromosikan negeri itu di luar negara, pendekatan kini diseimbangkan dengan memberi penekanan lebih besar kepada pasaran domestik dengan pelbagai strategi termasuk menaik taraf laman web pelancongan dengan ciri-ciri baharu dan memperkenalkan produk pelancongan terkini.

Beliau berkata antara tarikan baharu yang kini menerima sambutan menggalakkan ialah pembukaan semula Fort Cornwallis dan Muzium Negeri Pulau Pinang serta penganjuran acara seperti sambutan Hari Warisan George Town dan George Town Festival yang turut menyumbang kepada prestasi positif sektor pelancongan negeri.

Mengenai perancangan akan datang, Wong berkata Pulau Pinang menyasarkan peningkatan ketibaan pelancong sempena sambutan Hari Kebangsaan dan cuti persekolahan pada Ogos dan September, sebelum memberi tumpuan kepada cuti "Golden Week" di China yang berlangsung dari 1 hingga 8 Okt.

Sehubungan dengan itu, beliau akan mengetuai delegasi melibatkan Penang Global Tourism dan pemain industri ke Guangzhou serta Zhuhai pada minggu depan bagi mengadakan libat urus dengan penggiat industri pelancongan di kawasan Greater Bay Area menjelang "Golden Week".

-- BERNAMA