Dunia 04/08/2026 05:22 PM

Asia Tenggara Berdepan Cuaca Panas, Kering, Risiko Jerebu Meningkat Susulan El Nino Kian Kuat

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Asia Tenggara Berdepan Cuaca Panas, Kering, Risiko Jerebu Meningkat Susulan El Nino Kian Kuat

SINGAPURA, 4 Ogos (Bernama-Xinhua) -- Rantau Asia Tenggara dijangka berdepan keadaan lebih panas dan kering dalam  beberapa bulan akan datang, berserta peningkatan risiko kebakaran dan jerebu rentas sempadan susulan fenomena El Nino yang semakin mengukuh sekali gus mengurangkan taburan hujan.

Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) dalam tinjauan musiman terbaharunya pada Selasa memaklumkan, fenomena El Nino cenderung menyebabkan kebarangkalian taburan hujan di bawah paras normal di sebahagian besar kawasan selatan rantau ASEAN sepanjang Ogos hingga Oktober.

Menurut ASMC, fenomena El Nino kini dikesan dan diramal terus mengukuh bagi tempoh beberapa bulan akan datang.

ASMC berkata Angin Monsun Barat Daya dijangka berterusan sepanjang tempoh Ogos hingga Oktober, dengan tiupan angin lazimnya bertiup dari arah tenggara dan barat daya.

Menerusi jalur hujan monsun yang kekal di utara garisan Khatulistiwa, keadaan kering dijangka berterusan di kawasan selatan ASEAN, manakala kawasan utara ASEAN pula berkemungkinan mengalami cuaca lebih lembap.

Suhu melebihi paras normal dijangka melanda sebahagian besar rantau ASEAN dari Ogos hingga Oktober, sekali gus berpotensi memburukkan lagi keadaan cuaca kering.

ASMC turut memberi amaran bahawa keadaan cuaca panas berpanjangan bersama tiupan angin dari tenggara dan barat daya boleh meningkatkan aktiviti titik panas dan risiko berlaku jerebu merentas sempadan.

Bagi subwilayah Mekong, aktiviti titik panas dijangka kekal terkawal, namun risiko peningkatan aktiviti itu masih boleh berlaku di kawasan yang menerima taburan hujan yang rendah.

-- BERNAMA-XINHUA