Am 04/08/2026 06:13 PM

IJN Dinobat Pusat Kecemerlangan Latihan Penjagaan Aorta Asia-Pasifik

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
IJN Dinobat Pusat Kecemerlangan Latihan Penjagaan Aorta Asia-Pasifik
Kredit: Institut Jantung Negara (IJN)

KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Institut Jantung Negara (IJN) bekerjasama dengan Artivion Malaysia Sdn Bhd bagi memperkukuh latihan serantau dan perkongsian ilmu dalam penjagaan aorta menerusi penubuhan Pusat Kecemerlangan Latihan Penjagaan Aorta Asia-Pasifik.

Menerusi kerjasama itu, IJN berperanan sebagai platform serantau bagi golongan profesional penjagaan kesihatan untuk meningkatkan pengetahuan serta kemahiran prosedur dalam pengurusan dan rawatan berkaitan aorta.

IJN dalam kenyataan memaklumkan kerjasama itu akan memperkenalkan Aortic Care Essential (ACE), yang memberikan peluang kepada golongan profesional penjagaan kesihatan tempatan dan antarabangsa untuk menyaksikan prosedur aorta, mempelajari prosedur pembedahan lanjutan serta mendapatkan pandangan praktikal daripada pasukan klinikal IJN yang berpengalaman.

“Sesi latihan akan dijalankan di IJN, yang merangkumi demonstrasi prosedur melibatkan peranti perubatan aorta Artivion serta strategi menangani cabaran berkaitan prosedur berkenaan.

“Artivion juga akan menyediakan latihan produk bagi menyokong penggunaan teknologinya secara selamat dan berkesan dalam amalan klinikal,” menurut kenyataan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IJN Profesor Datuk Seri Dr Mohamed Ezani Md Taib berkata kerjasama itu mencerminkan kekuatan keupayaan klinikal IJN, serta peranan institusi itu yang semakin berkembang dalam memajukan pendidikan kardiovaskular khusus atau lanjutan di seluruh rantau ini.

“Pengiktirafan sebagai Pusat Kecemerlangan Latihan Penjagaan Aorta Asia-Pasifik satu pengiktirafan penting terhadap kepakaran, kemudahan dan pengalaman IJN dalam menguruskan aorta yang kompleks.

“Melalui kerjasama itu, IJN berpeluang berkongsi pengetahuan klinikalnya dengan golongan profesional penjagaan kesihatan di seluruh rantau ini termasuk Malaysia, sekali gus menyumbang kepada pembangunan tenaga kerja perubatan berkemahiran tinggi, yang mampu menyediakan penjagaan aorta yang selamat dan berkesan,” katanya.

Beliau berkata penyakit aorta, yang menjejaskan arteri utama dalam badan dan boleh mengancam nyawa sekiranya tidak didiagnosis dan dirawat segera, manakala rawatannya memerlukan kepakaran klinikal lanjutan, teknologi perubatan khusus serta kerjasama rapat pelbagai disiplin.

Sementara itu, Ketua Pegawai Klinikal IJN Datuk Dr Shaiful Azmi Yahaya berkata latihan yang berstruktur dan pendedahan kepada prosedur amat penting dalam memperkukuh rawatan aorta yang kompleks.

“Keadaan aorta melibatkan patologi yang amat kompleks dan rawatan yang berjaya bukan sahaja memerlukan teknologi canggih tetapi juga ketepatan pertimbangan klinikal, kecekapan teknikal serta keberkesanan kerja berpasukan terdiri daripada pelbagai kepakaran.

“Kursus Latihan ACE membolehkan golongan profesional penjagaan kesihatan yang mengambil bahagian menyaksikan amalan klinikal sebenar dan belajar daripada pakar berpengalaman dalam persekitaran terkawal serta berstruktur,” katanya.

Dr Shaiful Azmi berkata kerjasama itu juga dijangka menggalakkan perkongsian ilmu lebih meluas dalam kalangan pakar aorta dan profesional penjagaan kesihatan dari pelbagai negara, sekali gus menyokong pembangunan penjagaan aorta yang konsisten dan berasaskan bukti.

Ketua Pegawai Komersial Artivion Inc. John Davis berkata Artivion berbesar hati untuk memeterai perjanjian dengan IJN, sebuah institusi unggul yang terkenal dengan kecemerlangan amalan klinikal serta hasil rawatan pesakit yang memberangsangkan, dalam usaha Artivion dan IJN untuk memperkukuh misi dalam bidang penjagaan aorta.

“Kami amat yakin kerjasama itu akan membolehkan pesakit di seluruh Asia menikmati akses yang lebih luas kepada rawatan bagi penyakit aorta yang mengancam nyawa,” katanya.

Kolaborasi itu berkuat kuasa hingga 31 Dis 2028, dan sesi latihan akan dianjurkan bersama oleh IJN dan Artivion mengikut jadual klinikal IJN serta kesesuaian masa golongan profesional penjagaan kesihatan yang menyertai program berkenaan. 

Dengan pengiktirafan sebagai Pusat Kecemerlangan Latihan Penjagaan Aorta Asia-Pasifik, IJN terus memperkukuh kedudukannya sebagai pusat rujukan dan pendidikan, selain menyokong kemajuan penjagaan kardiovaskular bukan sahaja di Malaysia tetapi juga pada peringkat serantau.

-- BERNAMA