IPOH, 4 Ogos (Bernama) -- Masjid Tuminah Hamidi di Bagan Datuk akan dibuka kepada pengunjung daripada segenap lapisan masyarakat bersempena National Mosque Open Day 2026, sebuah acara budaya, komuniti dan hospitaliti Malaysia dari 13 hingga 15 Ogos.
Pusat Pelancongan Islam (ITC) dalam kenyataan hari ini memaklumkan program sulung anjuran ITC di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) itu bertujuan mengetengahkan peranan masjid bukan sekadar sebagai tempat ibadat.
Menurut kenyataan itu, masjid merupakan ruang komuniti yang aktif, menjadi tempat untuk orang ramai belajar, mengeratkan silaturahim, menyertai aktiviti sukarelawan serta meraikan nilai dan tradisi bersama, justeru National Mosque Open Day menawarkan sesuatu yang bermanfaat untuk setiap pengunjung.
"Sama ada anda peminat sejarah, pencinta seni bina, penggemar sukan, pencinta makanan atau hanya ingin meluangkan masa hujung minggu bersama-sama keluarga dan rakan, National Mosque Open Day 2026 menawarkan sesuatu untuk semua,” kata kenyataan itu.
ITC memaklumkan penyertaan adalah percuma dan program itu terbuka kepada semua tanpa mengira bangsa, agama atau kewarganegaraan.
Program itu bermula pada 13 Ogos dengan aktiviti khusus untuk menyuburkan hati dan jiwa, menampilkan persembahan qasidah oleh kumpulan Nur Ahli Badar, diikuti dengan ceramah ringkas oleh Habib Ali Zaenal Abidin Alhamid dan Habib Najmuddin Othman Alkhered di masjid berkenaan.
Menurut ITC, acara kemuncak pada 15 Ogos ialah Festival Komuniti di Dataran Bagan Datuk, menampilkan pelbagai aktiviti menarik untuk semua peringkat umur.
"Pengunjung boleh memulakan pagi dengan ‘brisk walk’ (jalan santai) bersama-sama pelakon Bell Ngasri, sebelum menyertai permainan tradisional, kejohanan bola sepak jalanan 3 lawan 3, pertandingan e-sukan, memanah, demonstrasi khat (kaligrafi Islam) dan pertandingan azan.
"Kanak-kanak turut berpeluang menyertai pertandingan mewarna, manakala seisi keluarga boleh meneroka masjid dan kawasan sekitarnya," menurut kenyataan itu.
Bagi mendapatkan maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari mymuslimtrip.com atau ikuti Islamic Tourism Centre menerusi Facebook atau Instagram.
Bagi menambah kemeriahan suasana, ITC berkata pengunjung juga berpeluang menyaksikan penampilan khas serta segmen pentas menampilkan Aril Pilus dan Elly Mazlein, di samping pelbagai persembahan menarik, demonstrasi secara langsung, sesi perkongsian oleh pempamer, cabutan bertuah serta pameran kebudayaan sepanjang hari.
ITC memaklumkan National Mosque Open Day 2026 akan dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut ITC, ketika Malaysia terus memperkukuh kedudukan sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim terkemuka, National Mosque Open Day mencerminkan komitmen negara dalam memupuk pemahaman lebih mendalam, keterangkuman dan menghargai kekayaan warisan Islam melalui penglibatan komuniti yang bermanfaat.
National Mosque Open Day merupakan acara utama ITC yang diadakan setiap bulan di pelbagai masjid, bertujuan untuk menyuburkan pemahaman lebih mendalam mengenai budaya, warisan, seni bina dan tradisi Islam di samping menjadikan masjid sebagai ruang mesra untuk orang Islam dan bukan Islam.
-- BERNAMA