Am 04/08/2026 09:39 PM

Polis Marin Tumpaskan Penyeludupan Minyak Masak Bersubsidi Di Sandakan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Polis Marin Tumpaskan Penyeludupan Minyak Masak Bersubsidi Di Sandakan
Kredit: Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah

SANDAKAN, 4 Ogos (Bernama) -- Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah menumpaskan kegiatan menyeludup minyak masak bersubsidi ke negara jiran di kawasan tepi Sungai Siguntur, Sibugal Besar di sini semalam.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah ACP Ahmad Amri Abd Rahman berkata tiga individu telah ditahan dalam serbuan 4.30 petang itu dan merampas sebuah bot, lori tiga tan, serta minyak masak bersubsidi pelbagai jenama bernilai RM160,469.

Beliau berkata kes penyeludupan membabitkan barangan kawalan bersubsidi berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

“PPM Wilayah 4 Sabah akan terus memperhebat risikan dan operasi penguatkuasaan bagi memerangi ketirisan serta penyeludupan barang kawalan bersubsidi, khususnya yang cuba dibawa keluar dari negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihak penguat kuasa kekal komited dalam memastikan setiap bentuk ketirisan dan penyeludupan dibanteras, demi melindungi kepentingan serta hasil negara.

Ahmad Amri berkata PPM Wilayah 4 Sabah telah merekodkan sebanyak 95 kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi tempoh Januari hingga 3 Ogos tahun ini.

“Tindakan penguatkuasaan sepanjang tempoh berkenaan turut melibatkan 91 tangkapan dengan jumlah keseluruhan nilai rampasan melebihi RM25 juta,” katanya.

-- BERNAMA