Dunia 04/08/2026 10:15 PM

Kesemua 238 Penumpang,KRU Feri Terbakar Di Indonesia Ditemukan, Operasi SAR Dikurangkan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kesemua 238 Penumpang,KRU Feri Terbakar Di Indonesia Ditemukan, Operasi SAR Dikurangkan
--REUTERS

JAKARTA, 4 Ogos (Bernama) -- Kesemua 238 penumpang dan kru feri KMP Mutiara Sentosa II yang terbakar di perairan Jawa Timur pada hujung minggu lepas kini telah ditemukan, sekali gus mendorong pihak berkuasa Indonesia mengurangkan skala operasi mencari dan menyelamat (SAR) khusus kepada operasi bersiap sedia secara rutin.

Ketua Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) Indonesia Mohammad Syafii berkata keputusan itu dibuat selepas senarai manifes penumpang diselaraskan antara pejabat syahbandar dan pengendali feri, mengesahkan kesemua mereka yang berada di dalam kapal telah dikesan, merangkumi 233 mangsa yang selamat dan lima kematian.

"Operasi bersiap sedia akan terus ditumpukan di perairan sekitar lokasi kejadian, manakala pos aduan kekal dibuka bagi menerima laporan daripada ahli keluarga sekiranya masih ada individu yang dipercayai hilang," katanya dalam satu sidang media di Surabaya, Jawa Timur pada Selasa, menurut Agensi Berita Antara.

Syafii berkata mangsa yang selamat telah diselamatkan oleh beberapa kapal, termasuk kapal perang Tentera Laut Indonesia KRI Nala, kapal tunda Hasnur, KM Meratus Pematang Siantar, KN Permadi, Selaras Mas dan KMP Mutiara Ferindo I, manakala lima mayat ditemukan oleh KM Meratus Pematang Siantar, KRI Nala dan KMP Mutiara Ferindo I.

Beliau berkata dapatan awal menunjukkan kesemua penumpang yang terjun ke laut memakai jaket keselamatan selepas diarahkan berbuat demikian oleh anak kapal semasa situasi kecemasan, manakala lima kematian itu dipercayai akibat terjatuh dari dek atas apabila kapal mula senget, dan bukannya disebabkan kecederaan terbakar.

Dalam pada itu bagi kejadian maritim berasingan, pihak berkuasa Indonesia telah mengatur gerak sebuah helikopter bagi meluaskan pencarian kapal kargo KM Samudra Jaya Kelautan yang membawa empat anak kapal, selepas dilaporkan hilang pada Isnin akibat gagal tiba di Batam mengikut jadual sehari sebelumnya.

Ketua Pejabat SAR Natuna Abdul Rahman berkata kapal yang membawa muatan ikan itu berlepas dari Air Sena di Tarempa menuju ke Batam pada Sabtu, manakala helikopter diatur gerak bagi meluaskan kawasan pencarian bersama aset laut selepas terputus hubungan dengan kapal berkenaan.

Beliau berkata tiada sebarang tanda atau bangkai kapal mahupun anak kapalnya ditemukan setakat ini, sambil menambah bahawa Pejabat SAR Natuna telah berkoordinasi dengan Pejabat SAR Tanjungpinang dan Pusat Penyelarasan Penyelamat Maritim (MRCC) Malaysia di Putrajaya, manakala operasi pencarian akan diteruskan menggunakan kesemua aset udara dan laut yang ada.

-- BERNAMA