Am 04/08/2026 09:07 PM

Pasukan Gimnastik Muda Bagan Datuk Lakar Kejayaan Pada Kejohanan Di Selangor

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Pasukan Gimnastik Muda Bagan Datuk Lakar Kejayaan Pada Kejohanan Di Selangor
Kredit: FB Zahid Hamidi

IPOH, 4 Ogos (Bernama) -- Pasukan gimnastik muda dari Bagan Datuk melakar sejarah tersendiri apabila berjaya meraih enam pingat emas, enam perak dan lima gangsa pada AG Little Gym Challenge Cup Selangor 2026 yang berlangsung di Kajang, 1 Ogos lepas.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk memaklumkan kejayaan itu dalam hantaran di laman Facebook sambil melahirkan rasa bangga atas pencapaian atlet-atlet tersebut.

“Alhamdulillah, saya amat berbangga apabila dimaklumkan anak-anak Bagan Datuk sekali lagi telah mengharumkan nama daerah kita.

“Pencapaian ini membuktikan bahawa anak-anak Bagan Datuk bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mampu menyerlah dalam bidang sukan apabila diberikan peluang, bimbingan dan sokongan yang sewajarnya,” katanya dalam hantaran berkenaan hari ini.

Ahmad Zahid turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua atlet, jurulatih, ibu bapa serta seluruh pasukan yang bertungkus lumus sehingga membuahkan kejayaan cukup membanggakan itu.

Sementara itu, Kelab Gimnastik Generasi Muda Bagan Datuk turut berkongsi kejayaan tersebut di laman Facebook mereka.

"Satu pencapaian yang amat membanggakan! Tahniah kepada semua gimnas berbakat atas persembahan cemerlang, keazaman dan semangat tidak pernah berputus asa. Setiap pingat mencerminkan kerja keras, disiplin serta latihan panjang yang telah dilalui.

"Ini bukan garisan penamat, sebaliknya satu lagi pencapaian penting. Kami akan terus berlatih dengan lebih gigih dan kembali dengan lebih kuat," menurut hantaran itu.

-- BERNAMA